‘Tolonglah Tun Cukuplah tu...berdamailah’

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdamai dan menghentikan mainan politik.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menerusi ciapan di Twitternya berkata, Dr Mahathir masih kuat bermain politik dan mengasak partinya sendiri.

“Beliau lebih kuat berpolitik daripada membantu meredakan wabak Covid-19 yang meragut ratusan nyawa warga Malaysia.

“Tolonglah Tun cukuplah tu. Berdamailah. Amalkan petua murni yang Tun ajarkan kami dulu-dulu,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Terdahulu, Dr Mahathir bersama empat lagi ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu dipecat serta-merta daripada parti itu atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Selain Dr Mahathir yang juga bekas pengerusi Bersatu, turut dipecat ialah Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah yang dilihat sehaluan dengan Dr Mahathir.

Mereka tidak berada di bangku blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri yang juga Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya hari ini.

Artikel Berkaitan: