NGO saran kerajaan batal lesen seumur hidup pemandu mabuk

Seorang pekerja Alam Flora, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas terlibat kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuantan-Gebeng berdekatan Kampung Bukit Rangin, baru-baru ini. - Foto Bernama
Seorang pekerja Alam Flora, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas terlibat kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuantan-Gebeng berdekatan Kampung Bukit Rangin, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Enam badan bukan kerajaan (NGO) Selangor menyarankan kerajaan mengenakan tindakan paling tegas terhadap pemandu mabuk termasuk hilang kelayakan memandu seumur hidup.

NGO berkenaan ialah Pergerakan Belia 4B Kota Raja, 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Alumni 4B Parlimen Kota Raja, Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanik Klang, Pertubuhan Integrasi Nasional serta Persatuan Kebajikan Hindu dan Sosial Selangor.

Wakil kumpulan NGO itu, Mohd Azhar Osman berkata, gesaan berkenaan dibuat berikutan nahas jalan raya yang disebabkan oleh pemandu mabuk bukan isu baharu namun sehingga kini belum ada tindakan keras diambil menyebabkan kejadian sama terus berlaku.

“Walaupun kerajaan sedang jalankan kajian (berkaitan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987) namun harus ada tindakan segera yang mesti diambil bagi mengelakkan kemalangan berpunca daripada pemandu mabuk ini terus terjadi.

“Kami cadangkan agar mana-mana pemandu yang diuji pernafasannya (oleh pihak berkuasa) melebihi kandungan alkohol dibenarkan atau mereka yang mengakibatkan kemalangan kerana mabuk, dibatalkan lesen memandu mereka seumur hidup sebagai amaran kepada masyarakat supaya lebih bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Seorang lagi wakil kumpulan NGO itu, Datuk Nor Shabudin Monil pula menyarankan kerajaan mengehadkan lokasi penjualan minuman keras bagi memudahkan pemantauan pembelian.

“Sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang untuk mengetatkan penjualan minuman keras hanya di premis tertentu saja. Ambil contoh negara maju yang menjual arak secara terhad.

“Ada juga negara sudah pun meluluskan draf pindaan akta untuk mengenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut. Diharap kerajaan dapat melihat isu ini dengan lebih teliti supaya tiada lagi rakyat yang menjadi mangsa pemandu mabuk,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: