Tiga suspek rempuh sekatan polis direman enam hari

Sinar Harian semalam melaporkan suspek merempuh sekatan jalan raya menyebabkan polis melepaskan tiga das tembakan.
Sinar Harian semalam melaporkan suspek merempuh sekatan jalan raya menyebabkan polis melepaskan tiga das tembakan.
A
A
A

IPOH - Tiga lelaki yang ditahan selepas kenderaan dinaiki merempuh tiga sekatan jalan raya hingga memaksa polis melepaskan tiga das tembakan di sini semalam, direman selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tempoh reman suspek berusia 21, 23 dan 26 tahun itu bermula hari ini sehingga 2 Jun bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

“Reman enam hari sehingga 2 Jun,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.

Menurutnya, usaha mencari syabu yang dicampak keluar ketika adegan kejar dari Simpang Pulai hingga ke Chenderiang, Tapah semalam, masih diteruskan.

“Anggota masih mencari (dadah) di lokasi kejadian dan usaha mencari turut melibatkan bantuan anggota Balai Polis Chenderiang,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan tiga kertas siasatan dibuka iaitu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 26 Akta Polis dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta rempuh sekatan jalan raya, polis lepas tiga das tembakan

Ketiga-tiga suspek yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza melarikan diri apabila diminta berhenti di 'snap check' Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai atas kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit kira-kira jam 10.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Mereka kemudiannya berjaya ditahan dalam satu Op Tutup di Chenderiang sebaik sahaja kenderaan dinaiki terbabas selepas melarikan diri lebih 40km.