Pindaan akta hukuman lebih berat bakal dimuktamad

Ka Siong meneliti fail cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk.
Ka Siong meneliti fail cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersedia untuk memuktamadkan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dalam pertengahan Jun ini bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan akta itu bagaimanapun mestilah mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diatur pihaknya pada 1 Jun ini untuk membolehkan pindaan akta berkaitan segera diteliti dan disemak.

"Saya sangat sedih dengan berita mengenai kemalangan khususnya melibatkan pemandu mabuk, malahan sepanjang bulan Mei ini saja, beberapa kemalangan berturut-turut dilaporkan adalah berkaitan pemandu mabuk.

"Cuti Hari Raya Aidilfitri dan tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dimanfaatkan saya bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol; dadah; memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

"Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri," katanya melalui hantaran dalam laman sosial Facebook peribadi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan Alam Flora maut dilanggar pemandu mabuk

Malam tadi, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan, Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menerima maklumat dari orang awam mengenai seorang mangsa yang dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada kira-kira jam 9.38 malam.

Pada 22 Mei lalu, dua lelaki dipercayai cedera selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai dipandu lelaki mabuk di tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sementara itu, pada 3 Mei lalu pula, seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan pada awal pagi.

Ka Siong berkata, kajian soal selidik ketika ini sedang dijalankan kementeriannya melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) melalui pengedaran borang secara dalam talian kepada orang awam.

Terdahulu, Ka Siong dalam satu kenyataan telah meminta JPJ untuk meneliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi melihat sama ada pindaan terhadap akta itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, akta tersebut akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain dapat dikenakan hukuman yang lebih berat sekaligus memberi kesedaran dan pengajaran kepada semua pihak.

"Pada masa sama, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan masing-masing juga akan diteliti semula," katanya.