X

Kindly register in order to view this article
!

Terkejut polis 'datang' beraya

Orang ramai mula bersurai selepas kehadiran anggota polis di sebuah rumah di Kampung Bunohan semalam.
A
A

TUMPAT - Kegembiraan sebuah keluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan anggota polis yang hadir membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Bunohan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, bagaimanapun tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas kumpulan berkenaan kerana tidak berkumpul melebihi 20 orang.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka ini adalah sanak saudara terdekat dan tidak melibatkan sebarang aktiviti rentas negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas video tular yang memaparkan kehadiran anggota polis ke rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, sekiranya perhimpunan itu melebihi 20 orang, polis akan terus mengeluarkan kompaun kepada keluarga berkenaan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu polis mengambil pendekatan dengan memberikan peringatan kepada mereka yang terlibat kerana mereka berkumpul bukan dalam tempoh yang lama.

"Sejurus melihat kehadiran anggota polis ada beberapa individu mulai bersurai dan mereka yang masih kekal diberikan pemakluman mengenai penjarakan sosial dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Ab Rashid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan sepanjang PKPB.

Katanya, pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat akan meningkatkan lagi pemeriksaan berkaitan dengan perkara tersebut.

"Notis kompaun akan terus dikeluarkan jika wujudnya perlanggaran PKPB.

"Kita ada menerima satu kes berkaitan pelanggaran PKPB hari ini namun siasatan lanjut yang dijalankan mendapati tidak wujud sebarang keraguan berhubung perkara tersebut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus