Sekatan jalan raya tetap dilaksanakan pada Aidilfitri

Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut perayaan Aidilfitri ketika tinjauan Bernama di Plaza Tol Alor Setar (arah utara). - Foto Bernama
Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut perayaan Aidilfitri ketika tinjauan Bernama di Plaza Tol Alor Setar (arah utara). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan kononnya tiada sekatan jalan raya akan diadakan di seluruh negara pada Aidilfitri esok.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sekatan akan dilaksanakan seperti biasa dan bilangannya akan ditambah jika terdapat keperluan.

"Sekatan jalan raya diteruskan di tempat sedia ada dan pemeriksaan teliti serta kompaun akan dikenakan kepada orang yang cuba rentas negeri.

"Mereka juga akan diarahkan untuk berpatah balik," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tiasa sekatan diadakan esok dan orang ramai boleh melakukan perjalanan rentas negeri.

Bernama hari ini melaporkan aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta meningkat sekali ganda menjelang tengah hari berbanding waktu pagi.

Tinjauan yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu mendapati ramai pemandu diarah untuk berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Dalam pada itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik menuju pantai timur di Plaza Tol Gombak sedikit perlahan berikutan pelaksanaan SJR bagi mengekang cubaan rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 1,613 kenderaan yang cuba merentas negeri diarah berpatah balik semalam. - Bernama