X

Kindly register in order to view this article
!

Dua ADUN Bersatu di Pulau Pinang tarik balik sokongan

A
A

GEORGETOWN - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Pulau Pinang telah menarik semula sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Susulan pengesahan tersebut, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim kini menjadi wakil rakyat pembangkang di negeri itu.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua ADUN itu tidak mempengaruhi keseimbangan kuasa di Pulau Pinang dengan PH masih menguasai 35 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika dihubungi Bernama hari ini, kedua-dua ADUN itu senada menyatakan pendirian untuk bersama parti Bersatu dan menyokong kepimpinan presiden merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khaliq Mehtab berkata, beliau akan mengikuti hala tuju parti dengan memberi sokongan kepada Muhyiddin.

"Walau apa pun, pendirian kami adalah selari dengan Bersatu di peringkat Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Zolkifli mendakwa namanya telah digugurkan daripada senarai majlis kerajaan negeri sejak kebelakangan ini dengan beliau tidak diundang untuk menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada nelayan di kawasan Balik Pulau baru-baru ini.

"Pendirian saya adalah saya bersama parti dan kini parti bukan lagi bersama PH, jadi saya juga sama. Kami kini menjadi sebahagian daripada pembangkang di Pulau Pinang," katanya.

Baru-baru ini, Khaliq Mehtab dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah kerajaan Pusat, manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, satu cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf