Untungnya dapat beraya di Malaysia

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

HARI Ahad ini, umat Islam di kebanyakan negara dunia termasuk Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia suatu kemenangan setelah kita berjaya mengharunginya dan menjadi suatu ujian bagi kita untuk menempuh hari raya kali ini dengan suasana berbeza.

Jika sambutan hari raya sebelum ini disambut dengan meriah tapi kali ini pastinya ia cukup berbeza, bukan sahaja kepada kita tapi juga umat Islam di seluruh dunia kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Sama ada kita bersedia atau tidak, tahun ini tiada lagi aktiviti kunjung-mengunjung, balik kampung, rumah terbuka mahupun ziarah kubur ahli keluarga kita yang sudah dijemput Ilahi.

Sedih bukan kepalang apatah lagi bagi golongan bujang yang bersendirian di perantauan dan orang tua di kampung yang terpaksa beraya tanpa anak cucu di sisi.

Disebabkan itu, ramai yang nekad dan mencuba nasib untuk pulang beraya di kampung sambil mengharapkan ihsan pasukan keselamatan yang bertugas memahami situasi mereka untuk pulang ke kampung.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa polis tidak akan membenarkan sesiapa pun merentas negeri pulang ke kampung kecuali terdapat kes kecemasan seperti kematian.

Orang ramai yang memberi alasan untuk balik kampung berhari raya tidak dibenarkan dan akan diarah berpatah balik.

Artikel Berkaitan:

Peringatan itu terpaksa diberikan apabila bilangan kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba ‘curi-curi’ untuk pulang ke kampung berhari raya terus meningkat.

Ismail Sabri turut mendedahkan, polis terpaksa mengarahkan sebanyak 3,212 kenderaan untuk berpatah balik kerana cuba merentas negeri dengan alasan tidak munasabah pada Selasa lalu.

Pasukan khas

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.

Pasukan khas yang turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ditugaskan melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.

Tindakan tegas yang dibuat kerajaan ini difahami kerana mereka tiada pilihan lain, selain membendung Covid-19 daripada merebak.

Jika pihak polis dan tentera boleh berkorban dengan menjadi benteng negara dalam memerangi wabak itu, kenapa kita sebagai rakyat tidak boleh berkorban pada masa ini?

Ketika ada antara kita yang berkeluh kesah kerana tidak boleh pulang ke kampung dan raya kali ini diibaratkan hilang serinya, adakah kita pernah terfikir bagaimana saudara sesama Islam di negara lain menyambutnya.

Ada antara mereka yang masih dibelenggu kemiskinan, perang saudara yang tidak berkesudahan dan masih bergelut untuk mempertahankan hak di tanah air sendiri.

Sedangkan kita masih boleh menyambutnya dengan aman, masih boleh makan ketupat, rendang, kuih raya dan boleh menghubungi atau membuat ‘video call’ dengan keluarga tersayang.

Di Semenanjung Gaza, Palestin, rejim Israel telah melancarkan serangan yang menyasarkan kumpulan penentang Palestin Hamas pada pertengahan Ramadan lalu sebagaimana yang dilaporkan agensi berita Anadolu.

Tiga pos pengawal di utara dan tengah Gaza milik Briged Izz ad-Din al-Qassam, sayap tentera Hamas, diserang tentera Israel.

Bukan itu sahaja, rejim Israel sekali lagi bertindak biadab apabila memusnahkan empat kawasan pertanian penduduk Palestin di Timur Laut Tebing Barat yang diduduki.

Mengikut laporan Pusat Maklumat Palestin, serangan itu dilakukan di Kampung Jiftlik, Lembah Jordan.

Askar rejim turut memusnahkan telaga, gudang dan kolam di kawasan sama pada pertengahan Ramadan lalu.

Ia adalah sebahagian cabaran yang terpaksa dihadapi saudara Islam kita di luar sana.

Jika Ramadan yang ditempuhi penuh onak duri, adakah anda masih merasakan saudara Islam di Palestin itu boleh menyambut Syawal dengan penuh aman damai?

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu