Peserta MM2H tidak boleh pulang secara automatik

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada istilah boleh pulang secara automatik bagi peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk kembali ke negara ini walaupun kebenaran diberikan Kabinet.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana peserta tersebut perlu menghantar permohonan pulang terlebih dahulu sebelum disemak dan diputuskan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

“Mereka perlu memohon dahulu sebelum boleh balik. Kita akan tengok negara mana mereka datang, sama ada dari negara berisiko tinggi atau tidak. Keputusan boleh atau tidak boleh pulang akan ditentukan kemudian.

“ Ia bukan automatik. Mereka (KKM,MKN, MOTAC) akan saring dan siasat dahulu permohonan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Sabtu lepas, kerajaan membenarkan ahli program MM2H yang terkandas di luar negara untuk kembali ke negara ini, namun mereka perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan negatif koronavirus (Covid-19) terlebih dahulu sebelum dibenarkan berlepas pulang ke Malaysia.ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang pas MM2H terkandas boleh masuk Malaysia mulai 17 Mei

"Mereka juga perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk menjalani saringan kesihatan dan kuarantin wajib selama 14 hari dan kos kuarantin wajib perlu ditanggung sendiri oleh ahli program," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, buat masa ini kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman berkenaan kebenaran menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Kita menunggu keputusan oleh Arab Saudi. Sekiranya dibenarkan, Menteri Hal Ehwal Agama akan membuat pengumuman mengenainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Singapura membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji 2020 bagi 900 jemaahnya ke tahun berikutnya berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, arahan bekerja dari rumah bagi penjawat awam sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa walaupun pejabat-pejabat kerajaan sudah mula dibuka.

"Seramai 80 peratus penjawat awam bekerja di pejabat manakala lagi 20 peratus bekerja di rumah kerana mereka mempunyai anak-anak kecil dan tadika, taska serta sekolah masih belum dibuka," katanya. - Bernama