X

Kindly register in order to view this article
!

'Normal lama' mungkin akan bebankan kita

Warga kota, sama ada umat Islam atau bukan Islam kebiasaannya pulang ke kampung halaman meraikan musim perayaan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Banyak peringatan dikeluarkan kepada rakyat untuk tidak melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran pada Aidilfitri yang dijangka disambut pada Ahad ini berikutan negara sedang bergelut dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Di bawah ‘normal lama’ iaitu sebelum bermulanya pandemik, kawasan bandar dan kota akan lengang apabila ratusan ribu warga kota, sama ada umat Islam atau bukan Islam, pulang ke kampung halaman meraikan musim perayaan.

Adalah tidak menghairankan apabila melihat lima atau lebih kereta di parkir di kawasan luar rumah penduduk kampung, namun melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perintah yang berkuat kuasa sehingga 9 Jun itu untuk membendung penularan novel koronavirus menyebabkan ‘antena’ pihak berkuasa terutama pasukan polis yang dibantu tentera untuk mengesan pesalah akan berada pada 'frekuensi yang sangat tinggi’.

Kenderaan yang banyak diparkir di laman atau luar rumah boleh menjadi 'sasaran' pemeriksaan oleh polis. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman
Kenderaan yang banyak diparkir di laman atau luar rumah boleh menjadi 'sasaran' pemeriksaan oleh polis. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman

Jadi lebih banyak kereta daripada biasa di luar rumah kampung, cenderung menarik perhatian yang tidak perlu. Lebih baik pemilik menyediakan bukti yang perlu sama ada dalam bentuk kertas atau kod QR dalam aplikasi Gerak Malaysia untuk mewajarkan kehadiran mereka.

Pesalah bagi kesalahan ini, mungkin akan dikenakan denda RM1,000 atau dibawa ke mahkamah yang hukumannya mungkin lebih berat.

Semangat untuk kembali ke kampung halaman, sudah pastinya berkobar-kobar kerana ia antara rutin lazim setiap tahun tetapi persoalannya adakah ‘berbaloi’?

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Ahad memberi amaran bahawa pihak polis mempunyai maklumat mengenai individu yang diberi kebenaran untuk melakukan perjalanan pulang ke kampung jadi adalah tidak sukar untuk mengesan pesalah.

Isyarat terbaik sudah pastilah melalui jumlah kereta yang diparkir di luar rumah penduduk kampung.

Mengenai perkembangan Covid-19 di negara ini, sehingga semalam Malaysia merekodkan 6,978 kes positif dengan 5,646 sembuh dan 114 kematian. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus