Gerakan ubah kerajaan Selangor hanya rekaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan gerakan cuba mengubah kerajaan Selangor dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional adalah rekaan pihak tertentu yang tidak tahu situasi sebenar politik di negeri tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amirudin berkata, kedudukan PH di Selangor kukuh dengan dominasi 44 kerusi sementara pembangkang dengan 12 kerusi termasuk dua calon bebas.

Menurutnya, peralihan kerajaan kepada Perikatan Nasional memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi dan dianggap suatu perkara yang mustahil dan tidak mudah.

"Saya ada dengar desas-desus tersebut namun saya tidak yakin ada ADUN dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP akan menyertai kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya anggap desas-desus itu sebagai berita palsu kerana pihak pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak diajak berunding akan perkara ini, jadi saya anggap itu hanya rekaan semata-mata sebelum disebarkan menjadi mesej berangkai," katanya yang merupakan bekas Ketua Penerangan Bersatu Selangor sebelum melepas jawatan itu pada Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN PH Selangor jangan jadi pengkhianat: MB

Perkara itu disokong Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail yang menyatakan Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dalam gerakan tersebut yang disifatkan lebih kepada isu dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pembangkang di Selangor tidak ambil tahu isu ini kerana fokus utama kita adalah untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

"Dalam politik tiada yang mustahil, kemungkinan gerakan itu boleh berlaku disebabkan hilang kepercayaan kepada pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun BN tidak terlibat dengan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan di peringkat Pusat juga adalah disebabkan oleh perpecahan dalam PKR yang saya lihat penyakit itu sudah melarat ke Selangor," katanya yang juga ADUN Sungai Air Tawar.

Sementara itu ADUN Rawang, Chua Wei Kiat mendakwa, terdapat gerakan dari Perikatan Nasional memberikan tawaran kepada ADUN PH untuk lompat parti.

"Namun saya rasa peluang untuk mengubah kerajaan negeri itu rendah kerana PH mempunyai majoriti yang besar.

"Cuma saya berharap pimpinan dapat memberikan perhatian berkenaan isu ini dan tidak mengambil ringan akan usaha yang dilakukan pihak tertentu ini," katanya.

Terdahulu timbul desas-desus tersebar di aplikasi WhatsApp wujud cubaan menukar pentadbiran di peringkat kerajaan negeri seperti berlaku di Perak, Kedah, Johor dan Melaka.

Menurut satu sumber boleh dipercayai, gerakan itu didakwa dilakukan bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin bersama ADUN Selangor yang pro kepadanya menerusi satu pertemuan yang diadakan kelmarin.

Menurut sumber tersebut, mereka yakin akan berjaya membawa masuk beberapa orang ADUN DAP dan Amanah menyertai kumpulan tersebut.

Jika mereka berjaya, bermakna Selangor akan mengikuti empat negeri terdahulu beralih kepimpinan dari kerajaan PH kepada kerajaan Perikatan Nasional.