Bomba Melaka hargai al-Quran wakaf

Abu Obaidat dan Saiful Iswandy membaca al-Quran yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka baru-baru ini.
Abu Obaidat dan Saiful Iswandy membaca al-Quran yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka baru-baru ini.
A
A
A

MELAKA - “Kami anggota bomba berasa dihargai dan diberi perhatian apabila menerima wakaf al-Quran terjemahan daripada pewakaf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) terutama pada bulan Ramadan ini.”

Demikian kata Timbalan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Kamaruddin Mustafa.

Menurutnya, sumbangan 200 naskhah al-Quran wakaf itu telah diagih-agihkan kepada bahagian-bahagian dalam jabatan itu dan 10 balai di seluruh Melaka untuk mewujudkan Quran Corner.

“Kami harap boleh memanfaatkan al-Quran wakaf untuk membaca dan memahaminya pada bila-bila masa di tempat kerja. Selain itu, al-Quran terjemahan tersebut boleh digunakan untuk tazkirah dan tadabbur walaupun tiga ayat al-Quran sehari.

“Tahun lepas, kami membeli sebanyak 17 naskhah melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka untuk diagihkan setiap satu ke bahagian-bahagian dalam jabatan dan balai bomba.

“Sebelum ini kami menerima sumbangan al-Quran daripada individu yang diletakkan di surau. Kami ada Cawangan Hal Ehwal Islam di JBPM Negeri Melaka yang menguruskan program kerohanian dan kebajikan anggota bomba,” katanya di sini semalam.

Pada 13 Mei lalu, warga JBPM Negeri Melaka menggunakan al-Quran wakaf yang diterima pada program World #QuranHour.

Turut serta, Pengarah JBPM Negeri Melaka, Abu Obaidat Mohamad dan Timbalannya, Saiful Iswandy K Hassan.

Artikel Berkaitan: