RoS sahkan Muhyiddin kini pemangku Pengerusi Bersatu

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memangku jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya, RoS telah mengambil maklum mengenai peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 24 Februari 2020 yang berkuatkuasa serta-merta.

Sehubungan itu, dengan peletakan jawatan tersebut, Presiden Bersatu berhak memangku jawatan Pengerusi sehingga pemilihan diadakan selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.

"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan iaitu surat peletakan jawatan Pengerusi, RoS mengesahkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu adalah sah.

"Pemangkuan jawatan Pengerusi Bersatu oleh Muhyiddin, Presiden Bersatu adalah juga sah dan masih berkuatkuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan Pengerusi baharu," menurut surat bertarikh 5 Mei lalu itu

Berdasarkan Fasal 16.9, jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu mengikut fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

Dalam pada itu, RoS dalam satu kenyataan mengesahkan tentang surat tersebut kepada Bersatu.

"Merujuk kepada pertanyaan pihak media mengenai salinan surat daripada JPPM bertarikh 5 Mei 2020, JPPM ingin mengesahkan surat tersebut adalah daripada JPPM bagi menjawab surat daripada Parti Bersatu," katanya.

Artikel Berkaitan: