Enam ditahan leka main judi

Antara suspek yang ditahan selepas didapati mengambil kesempatan kelonggaran PKPB untuk bermain judi di sebuah rumah di Batu 3, Kampung Tempoyang, Lipis tengah malam tadi. - Foto FB JSJ Kontinjen Pahang
Antara suspek yang ditahan selepas didapati mengambil kesempatan kelonggaran PKPB untuk bermain judi di sebuah rumah di Batu 3, Kampung Tempoyang, Lipis tengah malam tadi. - Foto FB JSJ Kontinjen Pahang
A
A
A

LIPIS - Enam lelaki termasuk dua warga asing dan seorang warga emas ditahan ketika leka bermain judi daun terup di sebuah rumah di Batu 3, Kampung Tempoyang di sini malam tadi.

Suspek berusia antara 34 hingga 66 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi, penoreh getah, pekebun dan buruh itu mengambil kesempatan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk berkumpul bermain judi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, susulan maklumat, sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan penugasan Ops Covid-19 bertindak menyerbu rumah milik salah seorang suspek pada jam 11 malam.

Menurutnya, kesemua suspek didapati sedang leka bermain judi daun terup di bahagian ruang tamu.

"Suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis hingga berlaku pergelutan sebelum kesemua mereka berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati, empat daripada mereka warga tempatan, seorang warga Bangladesh dan seorang lagi warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai disyaki wang pertaruhan berjumlah RM511, daun terup, meja dan kerusi yang digunakan untuk berjudi.

Azli berkata, semua suspek dibawa ke balai untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

“Semua suspek juga akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2020 kerana melanggar PKPB yang dilaksanakan ketika ini.

"Semua mereka diarah membuat ujian saringan awal koronavirus (Covid-19) sebelum permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Lipis hari ini," katanya.