Md Shukri perkaya ilmu dengan bahan bacaan ilmiah, agama

Md Shukri membaca al-Quran dan bahan bacaan agama bagi memahami terjemahan serta senario turunnya ayat al-Quran bagi memanfaatkan masa terluang ketika PKP dan pada bulan Ramadan.
Md Shukri membaca al-Quran dan bahan bacaan agama bagi memahami terjemahan serta senario turunnya ayat al-Quran bagi memanfaatkan masa terluang ketika PKP dan pada bulan Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bulan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam untuk mengejar ganjaran pahala yang berganda dengan memperbanyakkan amalan dan ibadat.

Ada yang konsisten melakukan tadarus al-Quran, berqiamullail, solat tarawih, tahajud dan bersedekah, malah tidak kurang juga yang terus memperkaya ilmu dengan mendalami pelbagai genre bahan bacaan sepanjang Ramadan yang jatuh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Itulah yang dimanfaatkan oleh Pensyarah Kanan di Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, 40, yang menggunakan masa terluang pada bulan Ramadan dengan menelaah pelbagai bahan ilmu sama ada buku lama atau buku baharu yang dimiliki.

“Ada buku yang sebelum ini tidak sempat dibaca dan ada juga banyak buku lama yang boleh dibaca semula untuk memahami perspektif yang boleh dikaitkan dengan fenomena masa kini.

“Dengan menelaah bahan ilmu ini, ia amat membantu saya sebagai ahli akademik bagi menambah kefahaman sesuatu bidang ilmu untuk dimanfaatkan, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain,”katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Md Shukri berkata, beliau juga menggunakan masa terluang untuk menelaah al-Quran dan membaca terjemahan sekali bagi memahami makna yang disampaikan.

“Kena rujuk asbabun nuzul (sebab turunnya ayat), jadi itu membantu memahami senario atau sejarah turun sesuatu ayat al- Quran itu.

“Ia sekali gus membolehkan kita memahami dengan lebih jitu kandungan ayat tersebut walaupun pendekatan ini lambat dan ambil masa yang panjang tetapi ia akan membawa pemahaman dan keupayaan berfikir.

Artikel Berkaitan:

“Cara ini juga akan menguatkan minda berfikir orang Islam kerana Quranic view itu perlu jelas, kena teliti, baru terasa kepuasannya sebagai seorang muslim,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.

Selain itu, Md Shukri berkata, beliau turut membaca sejarah Nabi Muhammad SAW untuk lebih kefahaman dan mengetahui dengan lebih dekat siapa sebenarnya nabi.

Sementara itu, katanya, hikmah Ramadan ketika PKP memberi peluang kepadanya untuk berehat atau bercuti selepas 19 tahun berkecimpung dalam dunia akdemik, malah lebih tepat dapat melakukan lebih ibadat selain melakukan kerja dan aktiviti di rumah.