Gergasi Merah masih belum turun padang

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19. -Foto: FA Selangor
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19. -Foto: FA Selangor
A
A
A

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan pihaknya masih merancang untuk mengadakan sesi latihan skuad Gergasi Merah bulan depan.

Terdahulu, Selangor dikatakan sudah memiliki perancangan untuk mengadakan program latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Perkhabaran itu sekali gus mencetuskan desas-desus kononnya skuad bimbingan B Sathianathan telah mula turun menjalani program latihan.

Begitupun, Johan memberitahu, Selangor belum mengadakan sebarang sesi latihan, sebaliknya menyifatkan kenyataan itu lebih kepada gambaran skuad Gergasi Merah mahu mengadakan persiapan lebih awal jika Liga Malaysia (Liga-M) disambung dalam masa terdekat.

Johan menegaskan, FAS tetap akan mendapatkan khidmat nasihat daripada kerajaan negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum melaksanakan program latihan.

“Itulah perancangan Selangor tetapi buat masa ini, skuad Selangor masih belum mengadakan sesi latihan dan saya fikir program latihan Selangor mungkin berjalan selepas perayaan Aildilfitri nanti.

“Namun, itu hanyalah perancangan awal di mana FAS tetap akan meminta nasihat dan saranan daripada pihak berkuasa atas kesesuaian Selangor untuk meneruskan program latihan ini mengikuti SOP yang diarahkan.

“Ia sebagai salah satu persiapan awal Selangor dalam usaha memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik sekiranya Liga-M disambung dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendedahkan tidak memiliki kuasa untuk membenarkan atau menyekat pasukan yang mahu mengadakan latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).