MOA beri jaminan bekalan makanan mencukupi

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) memberi jaminan kedudukan bekalan makanan bagi bahan makanan utama iaitu daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap stabil dan mencukupi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat juga tidak perlu bimbang mengenai bekalan beras di pasaran kerana jumlah stok semasa pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

“Selain bahan makanan utama, bekalan barangan keperluan lain turut mencukupi dan mudah diperoleh.

“Semalam, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 1,003 premis perniagaan termasuk peruncit (823), pemborong (149) dan pengilang (31),” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa KPDNHEP telah merekodkan sebanyak 3,015 aduan berhubung harga dan bekalan untuk tindakan bahagian penguatkuasa melalui sistem E-Aduan.

“Tindakan akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail turut memberitahu bahawa semalam KPDNHEP juga telah melakukan 2,006 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPB.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil pemeriksaan itu mendapati 1,719 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 271 premis telah diberi nasihat dan 16 premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.