30 ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan

Pemilik motosikal terpaksa menolak kenderaan masing-masing sejauh lebih satu kilometer ke balai untuk siasatan lajut selepas ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk merempit.
Pemilik motosikal terpaksa menolak kenderaan masing-masing sejauh lebih satu kilometer ke balai untuk siasatan lajut selepas ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk merempit.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 30 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila menunggang motosikal pada waktu malam tanpa alasan munasabah di sekitar daerah ini menerusi Op Bersepadu Samseng Jalanan malam tadi.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisionar Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya telah membuat pemantauan dan risikan berhubung aktiviti samseng jalanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, pihaknya menggempur beberapa lokasi di sekitar bandar Kuantan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kaki rempit termasuk di Jalan Pintasan Kuantan kawasan Bukit Rangun, Jalan Tanjung Lumpur depan Yayasan Pahang, Jalan Kuantan-Gambang dan Jalan Beserah.

“Dalam operasi bermula jam 9 malam dan berakhir jam 6 pagi tadi, kita berjaya menahan mereka atas kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Perkara 15, Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Pindaan No 6) 2020.

“Tiga daripada mereka turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Antara yang ditahan dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan Covid-19 kerana menunggang secara bahaya dan melulu malam tadi.
Antara yang ditahan dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan Covid-19 kerana menunggang secara bahaya dan melulu malam tadi.

Mohamad Noor berkata, seorang individu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1951 kerana positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil operasi itu juga, sebanyak 91 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 14 motosikal disita kerana melakukan kesalahan di bawah 60 APJ 1987 iaitu mengubah suai struktur kenderaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tugasan pencegahan jenayah dan aktiviti samseng jalanan di daerah ini tetap berjalan seperti biasa walaupun dalam tempoh PKP dan PKPB.

“Kita dapati selepas PKPB dilaksanakan, penunggang motosikal mula keluar dan bila ditahan mereka beri alasan tidak munasabah, keluar untuk bersiar-siar sahaja dan sebagainya.

“Kita juga mendapati ada segelintir daripada mereka mengambil peluang untuk merempit dan tindakan terpaksa diambil bagi mengelak kegiatan ini berleluasa ketika PKPB ini,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihak polis berdepan risiko terdedah jangkitan koronavirus (Covid-19) memandangkan mereka yang ditahan tidak diketahui status kesihatannya, tidak memakai topeng muka dan proses sentuhan memang tidak boleh dielakkan ketika di lapangan.

“Kita laksanakan operasi ini secara berhati-hati bagi mengelak risiko, jadi prosedur operasi standard (SOP) PKPB kita laksanakan ketika di balai termasuk membekalkan topeng muka kepada individu yang ditahan selain menjaga penjarakan sosial,” katanya.

Menurutnya, beliau meminta ibu bapa mainkan peranan dengan mengawasi anak-masing dalam tempoh PKPB ini.

“Kita dapati antara yang ditahan ini tidak mempunyai lesen dan menggunakan motosikal milik keluarga.

“Bila kita, soal mereka maklumkan ibu atau bapa tahu dan benarkan mereka menggunakan kenderaan tersebut,” katanya.