PDRM belum buat keputusan beku cuti raya

Abd Rahim (dua dari kanan) berbual bersama Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa (dua dari kiri) pada lawatan kerja ke Pengkalan Pemantauan PKPB di Kuala Selangor petang semalam.
Abd Rahim (dua dari kanan) berbual bersama Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa (dua dari kiri) pada lawatan kerja ke Pengkalan Pemantauan PKPB di Kuala Selangor petang semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan kerajaan berhubung kemungkinan cuti pegawai dan anggotanya dibekukan pada Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan pergerakan orang ramai dapat dipantau supaya tidak berlaku pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya juga bersedia menambah jumlah anggota dan pegawai sekiranya diperlukan bagi mengelakkan kesesakan orang ramai sepanjang musim perayaan ini.

"PDRM masih belum membuat keputusan kerana kita menunggu arahan daripada kerajaan dari masa ke masa.

"Sekarang ini kita bukan hanya membuat pemantauan penjarakan sosial, tetapi memastikan tidak berlaku pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran seperti yang berlaku di Plaza Tol Gombak yang dikesan cuba melanggar PKPB dengan pulang beraya dalam beberapa hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pengkalan Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Selangor di sini petang semalam.

Malah, katanya, pihaknya juga bersedia menambah kekuatan pasukan sekiranya diperlukan pada bila-bila masa sahaja.

"Kita memerlukan lebih ramai petugas terutama jika ada arahan pergerakan kenderaan antara daerah," katanya.

Beliau memberitahu, sehingga kini, kira-kira 60,000 pegawai dan anggota polis menjalankan tugas sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dalam usaha mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua pegawai dan anggota polis berkenaan sentiasa bersiap siaga termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Marin yang bertugas di kawasan sempadan darat serta perairan bagi mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

Menurutnya, menerusi perlaksanaan Ops Benteng, pihaknya menjalankan operasi bersepadu dengan agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kira-kira 80,000 anggota keselamatan terlibat dalam penugasan ini bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP dan memperkukuhkan sempadan negara daripada dibolosi," katanya.