Banjir Slim River: Empat keluarga dipindahkan

Rumah salah seorang mangsa yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Slim River hari ini. - Foto APM Muallim
Rumah salah seorang mangsa yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Slim River hari ini. - Foto APM Muallim
A
A
A

SLIM RIVER - 11 penduduk melibatkan empat keluar di kawasan Rumah Awam 1, di sini dipindahkan berikutan banjir kilat yang berlaku hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang disebabkan hujan lebat.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Kampung Kurnia di sini, yang dibuka pada jam 7.55 malam.

"Sepasukan anggota APM diatur gerak ke lokasi kejadian untuk pemantauan untuk mengeluarkan mangsa daripada kawasan penempatan.

"Air bagaimanapun sudah mulai surut namun rumah mangsa masih dipenuhi air," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, selain APM beberapa agensi lain turut terlibat membantu memindahkan mangsa dan menguruskan pusat pemindahan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Shahrizal berkata, sebuah keluarga seramai 14 orang warganegara Indonesia yang turut terlibat dalam banjir kilat tersebut turut dipindahkan ke sebuah inap desa berhampiran.

Katanya, kesemua mereka adalah jemaah umrah yang terkandas dan pihak polis membantu mereka berpindah sementara ke kawasan inap desa tersebut.

Artikel Berkaitan: