Pulanglah Mohamad Adly...

Mohamad Adly dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 28 April lalu.
Mohamad Adly dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 28 April lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang ibu buntu memikirkan keselamatan anak angkatnya yang dipelihara sejak bayi selepas pemuda itu tidak pulang ke rumah sejak 28 April lalu.

Yatimah Sairan @ Ahmad, 70, berkata, kehilangan Mohamad Adly Noordin, 34, disedari ketika dia berada di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu apabila anak angkatnya itu tidak pulang ke rumah mereka di Jalan Permatang, Kampung Tebuk Jawa di sini.

"Sebelum Mohamad Adly hilang, dia membawa saya menziarahi rumah saudara di Felda Gedangsa pada 21 Mac lalu.

"Dia tinggalkan saya di Felda Gedangsa dan dia pula pulang ke rumah dengan menunggang motosikal," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Yatimah, sehari sebelum Ramadan adalah kali terakhir Mohamad Adly menghubunginya dan sehingga kini anak angkatnya itu tidak ditemui.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan kehilangan Mohamad Adly mempunyai kaitan dengan masalah kemurungan dialaminya sejak lima tahun lalu.

"Sejak tiga bulan kebelakangan ini Mohamad Adly selalu mengadu ingin berpindah ke rumah sewa kerana tak tahan duduk di rumah kami sebab seolah-olah ada gangguan dan berasa tidak selesa.

Yatimah dan Sungip menunjukkan gambar Mohamad Adly yang menghilangkan diri sejak 28 April lalu.
Yatimah dan Sungip menunjukkan gambar Mohamad Adly yang menghilangkan diri sejak 28 April lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak pernah putus berdoa supaya Mohamad Adly ditemui dalam keadaan selamat, apatah lagi saya tidak dikurniakan anak dan hanya berharap kepada dia selepas kematian suami pada tahun 2000," kata wanita itu.

Yatimah memberitahu, sejak kehilangan Mohamad Adly dia kini kesunyian dan terpaksa menumpang sementara di rumah anak saudaranya, Mohamad Sungip Omar, 40, yang tinggal berhampiran rumahnya.

"Mohamad Adly seorang yang ringan tulang dan rajin membantu saya memasak di dapur. Kehilangannya pada Ramadan ini amat dirasai, lebih-lebih lagi hanya tinggal beberapa hari lagi hendak sambut lebaran (Syawal)," katanya.

Sementara itu Mohamad Sungip berkata, sehingga kini, usaha mencari dan mengesan Mohamad Adly yang bekerja kampung masih menemui jalan buntu.

Bagaimanapun katanya, motosikal jenis Honda Wave, telefon bimbit, selipar dan topi kaledar Mohamad Adly yang diletakkan di surau berhampiran pada 1 Mei lalu telah dijumpai.

"Kami melalukan pencarian beberapa fasa dan berusaha mengesannya di beberapa lokasi berhampiran, namun kelibatnya masih belum ditemui

"Saya berharap mana-mana pihak yang menemui Mohamad Adly segera memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi saya di talian 0195461639," katanya.