Bayi malang cedera di bahagian otak, tempurung kepala retak

Hospital Pulau Pinang
Hospital Pulau Pinang
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Bayi perempuan baru lahir yang dicampak dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini oleh ibunya sendiri, semalam dikesan mengalami kecederaan di bahagian otak, selain tempurung kepalanya retak disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalalagan berkata, selain luka pada bahagian kepala, kecederaan turut dikesan pada hati bayi berkenaan.

Bagaimanapun, bayi malang tersebut yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang itu akan dirujuk kepada pakar untuk rawatan susulan.

"Ibu bayi berkenaan yang merupakan suspek utama dalam kes ini masih mendapatkan rawatan di hospital sama dan dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi di sini.



ARTIKEL BERKAITAN: Tergamaknya campak bayi sendiri dari tingkat empat!!

Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, Anbalagan berkata, keluarga remaja perempuan terbabit yang berada di Kelantan sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, polis sedang memburu teman lelaki suspek yang berusia 18 tahun untuk membantu siasatan.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang remaja tergamak mencampak bayi perempuan yang baharu dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan melahirkan bayinya di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan panik, remaja terbabit mengambil keputusan mencampak bayi berkenaan melalui balkoni.

Anbalagan sebelum ini berkata, salah seorang penduduk di perumahan itu yang terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh ke atas atap rumahnya curiga dengan bunyi tersebut dan membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah sebelum menemui beg yang mengandungi bayi di bahagian belakang flat terbabit.

Pemeriksaan lanjut menemui bayi perempuan dalam keadaan berdarah, namun masih bernyawa.