Terpaksa gulung tikar, pengusaha bas rayu bantuan

Pengusaha dan pemandu bas merayu rintihan mereka didengar kerajaan.
Pengusaha dan pemandu bas merayu rintihan mereka didengar kerajaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Terpaksa gulung tikar kerana tidak lagi mampu bertahan. Itu luahan pengusaha bas persiaran, bas pekerja dan bas sekolah di negeri ini yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Wakil pengusaha bas, R Thiagajaran berkata, kekangan yang dihadapi ketika PKP untuk meneruskan pengambilan penumpang menyebabkan sumber pendapatan terjejas sekali gus memberi impak besar kepada sektor pengangkutan di Johor yang mempunyai hampir 900 pengusaha bas persiaran, bas pekerja dan bas sekolah berdaftar.

"Kami bukan syarikat besar, kebanyakan pengusaha bas merupakan syarikat tunggal dan persendirian yang membeli bas melalui pinjaman kredit persendirian dengan kadar faedah sebanyak 10 hingga 13 peratus.

"Kementerian Kewangan sememangnya telah umumkan moratorium kepada pinjaman sewa beli kenderaan namun tidak menyatakan perkara terbabit bagi pinjaman kredit persendirian yang digunakan bagi membeli kenderaan seperti bas yang dilalui pengusaha bas," katanya ketika ditemui di Iskandar Puteri.

Katanya, bebanan pinjaman kewangan sewa beli daripada pihak bank kepada pengusaha bas paling membebankan kerana kadar faedah akan meningkat sekiranya pinjaman bulanan tidak dilunaskan.

Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Pengangkutan dapat membantu pengusaha bas yang terkesan selain mempermudahkan permohonan bantuan mikro kredit Tekun.

"Kami mohon bantuan mikro kredit Tekun tapi sekarang tiada jawapan. Kami mahu kerajaan mendengar keluhan kami. Memorandum akan diserahkan kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Johor Kementerian Pengangkutan serta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.

Pengusaha bas, Mohd Sadam Hussein, 28 pula berkata, bayaran bulanan bank dianggarkan RM8,000 perlu ditanggung pengusaha bas yang membuat pinjaman bagi pembelian sebuah bas berharga kira- kira RM450,000.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berharap kelonggaran dapat diberikan kepada pengusaha bas untuk beroperasi termasuk cadangan menggunakan bas persiaran bagi menghantar pekerja kilang.

"Pengusaha bas merupakan penggerak utama sektor pelancongan. Bantuan sewajarnya perlu dipertimbangkan kepada pengusaha serta pemandu bas," katanya.

Bagi pengusaha bas sekolah, Sairi Sahrin, 65 yang sudah 15 tahun menjalankan perniagaan pengangkutan mengakui PKP yang bermula sejak dua bulan lalu cukup memberi kesan kepada sumber pendapatannya.

Menurut lelaki itu lagi, selain hilang punca pendapatan kerana sekolah ditutup ketika PKP, dia masih menanggung kos penyelenggaraan bas dan membayar gaji pemandu bas.