Arab Saudi naikkan VAT, kos haji dan umrah mungkin meningkat

Gambar kecil: Md Daud Che Ngah
Gambar kecil: Md Daud Che Ngah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kos mengerjakan haji dan umrah berkemungkinan meningkat berikutan pengumuman Arab Saudi hari ini untuk menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sebanyak tiga kali ganda berkuat kuasa 1 Julai nanti.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, ini kerana sebarang perubahan harga yang ditawarkan syarikat agensi haji dan umrah kepada jemaah turut bergantung kepada dua situasi iaitu kenaikan harga ditetapkan Arab Saudi dan juga tambang tiket kapal terbang.

Sehubungan itu menurutnya, sekiranya negara terlibat menaikkan VAT kerana mahu menampung pendapatan negara akibat harga minyak rendah, kemungkinan kenaikan caj haji dan umrah boleh berlaku.

“Harga semasa sekarang ini ialah harga yang ditetapkan Arab Saudi dahulu. Kita pegang yang itu, kita buat kira-kira mengikut apa yang ditetapkan.

“Sama seperti tahun 2018 selepas negara itu mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), harga haji dan umrah naik. Kebiasaan setiap tahun pun memang ada kenaikan tapi tidak begitu ketara,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi naikkan VAT tiga kali ganda

Beliau mengulas mengenai laporan Agensi Berita Saudi berhubung pengumuman Arab Saudi untuk menaikkan VAT tiga kali ganda dan menggantung bayaran elaun sara hidup bagi menangani krisis ekonomi akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed Al Jadaan berkata, kerajaan memutuskan bahawa elaun kos sara hidup akan digantung bermula Jun 2020, manakala VAT akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula 1 Julai.

Artikel Berkaitan:

Arab Saudi bersama beberapa negara Teluk lain mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak lima peratus pada 2018 bagi menambah pendapatan negara.

Menurut Jadaan, Riyadh dijangka kehilangan separuh daripada pendapatan melalui hasil minyak yang menyumbang kira-kira 70 peratus pendapatan awam susulan kejatuhan harga bahan itu sebanyak dua pertiga sejak awal tahun ini.