Rancang pelbagai aktiviti bersama semarakkan bulan Ramadan

Ma'amor (dua dari kiri) bersama keluarga bertadarus bersama selepas solat.
Ma'amor (dua dari kiri) bersama keluarga bertadarus bersama selepas solat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kedatangan Ramadan pada tahun ini tetap disambut dengan meriah oleh Datuk Dr Ma’amor Osman sekeluarga walaupun terpaksa menjalaninya dalam keadaan terbatas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, memandangkan anak-anaknya iaitu Mardhiah, 34, dan Mohd Razeen, 19, serta anak saudara dan cucunya turut berada di rumah sejak sebelum Ramadan, mereka telah merancang pelbagai aktiviti serta ibadah untuk dilakukan bersama sepanjang bulan puasa kali ini.

“Alhamdulillah, kami dapat susun beberapa program secara teratur bagi menyemarakkan Ramadan dan alhamdulillah ia diikuti semua termasuk cucu-cucu.

“Biasanya kami sekeluarga mulakan dengan qiamullail, kemudian masak untuk sahur diikuti solat Subuh berjemaah dan tadarus al-Quran.

“Selain itu, kami juga utamakan untuk melihat tafsir-tafsir termasuk merujuk kepada ceramah tafsir dari ustaz yang muktabar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hikmah paling besar pada kali ini juga mereka sekeluarga diberi kesempatan untuk solat berjemaah lima waktu setiap hari.

Malah katanya, cucu sulungnya yang berusia lapan tahun juga menunjukkan kebolehan menjadi bilal untuk solat tarawih.

“Semua ibadah dan aktiviti itu kami lakukan bersama dan saya juga melihat ia sebagai satu peluang yang sangat baik untuk dimanfaatkan oleh semua umat Islam khususnya bagi menampung kekurangan sebelum ini dari segi kualiti masa bersama keluarga, anak serta cucu.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, kami sekeluarga juga dapat berkongsi pengalaman serta pengetahuan masing-masing termasuk mengajak ahli keluarga untuk sama-sama bersedekah menerusi program bantuan atau sumbangan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Selain itu, beliau dan isterinya, Datin Rohayah Ab Rahman, 55, juga banyak menghabiskan masa menjaga sayur-sayuran serta ulam-ulaman yang ditanam sendiri di laman rumah antaranya seperti bendi, bayam brazil, bayam, kangkung, terung, serai serta ulam raja.

“Kami hasilkan baja kompos sendiri sebagai medium untuk galakkan dan suburkan hasil tanaman,” katanya berkongsi rahsia bagaimana untuk mengekalkan kecergasan diri.

Dalam pada itu, Ma’amor turut berkongsi amalan pemakanan sihat beliau sekeluarga yang wajib diambil setiap hari iaitu buah dan sayur-sayuran.

“Kami sekeluarga mengamalkan makan buah kurma, zaitun dan juga buah tin, di samping makan sekurang-kurangnya satu atau dua jenis sayur,” katanya.