Tukang gunting OKU rela 'putus rezeki' demi PKP

Wan Razali termenung memikirkan masa depan selepas kedai gunting terpaksa ditutup hampir dua bulan.
Wan Razali termenung memikirkan masa depan selepas kedai gunting terpaksa ditutup hampir dua bulan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang tukang gunting orang kurang upaya (OKU) sanggup 'putus' mata pencarian semata-mata mahu menghormati keputusan kerajaan yang masih belum membenarkan kedai gunting beroperasi dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Wan Razali Wan Hamat, 49, berkata, walaupun ada pelanggan yang merayu supaya beliau membuka premisnya namun hasrat itu terpaksa ditolak atas faktor keselamatan.

"Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu pendapatan saya terjejas teruk. Saya reda dengan apa yang berlaku kerana semua orang terkesan dengan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun saya lega kerana tidak perlu membayar sewa kedai memandangkan kerja-kerja menggunting rambut ini dilakukan di rumah," katanya kepada Sinar Harian di Kampung Gong Keting hari ini.

Menurutnya, setiap kali tibanya Ramadan dia selalunya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan untuk 'bojeng'.

Wan Razali menunjukkan pemakluman berhubung penutupan premisnya.
Wan Razali menunjukkan pemakluman berhubung penutupan premisnya.

Katanya, seminggu sebelum Aidilfitri adalah waktu puncak apabila terpaksa melanjutkan operasi sehingga jam 11 malam kerana jumlah kehadiran pelanggan berlipat kali ganda iaitu lebih 30 orang sehari.

"Bagaimanapun Ramadan di musim PKP tahun ini berbeza apabila saya terpaksa berehat daripada menjalankan kerja-kerja tersebut," katanya yang merupakan bapa tunggal.

Artikel Berkaitan:

Wan Razali yang hilang upaya untuk berdiri secara normal sejak tahun 2000 lalu selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja membuat rumah berkata, sepanjang PKP beliau membantu anak saudaranya menjual buah tembikai di hadapan rumahnya.

Katanya, dia bersyukur apabila menerima elaun bulanan kerja berjumlah RM400 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dengan adanya elaun ini dapatlah saya gunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang PKP ini," katanya.