Premis diarah tutup jika gagal patuhi SOP PKPB

Sallehuddin (kanan) berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh pengusaha pasar raya di Pahang dalam tempoh PKPB yang berkuat kuasa hari ini.
Sallehuddin (kanan) berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh pengusaha pasar raya di Pahang dalam tempoh PKPB yang berkuat kuasa hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Semua premis perniagaan dan kilang di negeri Pahang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan tindakan tegas termasuk diarah tutup.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan setiap premis mematuhi SOP bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, dalam tempoh seminggu ini, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa jabatan lain akan mengadakan pemeriksaan bagi memberi penerangan kepada pemilik premis mengenai SOP tersebut.

"Kita akui ada yang keliru, tapi ini biasa sebab ia benda (SOP) baru, jadi tempoh seminggu diberikan bagi beri kefahaman kepada perniagaan untuk pematuhan.

"Kita berharap tidak ada tindakan undang-undang akan diambil, tapi ini adalah tindakan terakhir terpaksa diambil, malah penutupan premis akan dilakukan jika tidak patuh. Semua ini di bawah kuasa PBT dan Jabatan Kesihatan yang bukan mengganggu perniagaan sebaliknya mahu menjaga keselamatan," katanya.

Sallehuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai pematuhan SOP sewaktu mengadakan tinjauan di Kilang Polyplastics di Gebeng hari ini.
Sallehuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai pematuhan SOP sewaktu mengadakan tinjauan di Kilang Polyplastics di Gebeng hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pematuhan SOP di kilang dan premis sekitar daerah ini susulan pelaksanaan PKPB bermula hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tinjauan yang diadakan, Sallehuddin berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan kilang dan premis perniagaan terhadap SOP terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua pekerja dan pemilik premis serta kilang berhati-hati dan mematuhi keperluan untuk pergerakan, selain menjaga kebersihan serta mematuhi SOP yang ada.

Namun begitu, beliau mengingatkan premis perniagaan dan kilang agar mengambil maklumat lengkap pelawat bagi memudahkan mengesan mereka sekiranya berlaku jangkitan Covid-19.

"Jadi, kita harap kerjasama daripada semua pihak dalam perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Sallehuddin menasihatkan semua rakyat dapat mematuhi SOP dan memakai topeng muka untuk keselamatan.