Siti Nurhaliza dedikasi 'Basyirah' buat barisan hadapan

Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul Basyirah.
Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul Basyirah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendedikasikan lagu baharunya bertajuk ‘Basyirah’ kepada petugas barisan hadapan, bagi menghargai pengorbanan mereka yang berjuang mengekang penularan wabak Covid-19.

Siti Nurhaliza, yang mesra dengan panggilan Tok Ti menyifatkan bait-bait lirik lagu ‘Basyirah’ atau yang bermaksud ‘Khabar Gembira’ itu bukan hanya sebagai hiburan semata-mata namun mempunyai mesej yang mendalam.

“Alhamdulillah, single 'Basyirah’ telah berada di semua platform digital. Beli dan 'strem’ ya semua.

“Tidak hanya sebuah lagu untuk hiburan tetapi saya melagukan supaya maknanya sampai, rasanya sampai dan setulus dedikasi untuk semua 'KITA' yang menjadi 'barisan hadapan'. Bagi saya selain barisan hadapan yang berkorban dalam keadaan sekarang, kita juga berperanan untuk mendukung mereka,” katanya menerusi kapsyen di Instagram semalam.

‘Basyirah’ yang dilancarkan sejak tengah malam tadi merupakan hasil ciptaan pengacara dan penulis lirik terkenal Ahmad Fedtri Yahya dan komposernya Hafiz Hamidun.

Muzik video lirik rasmi ‘Basyirah’ boleh ditonton di laman YouTube Siti Official Video pada jam 3 petang, hari ini.

Dalam pada itu, Tok Ti turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik karya individu lain secara haram.

“Apalah ertinya 'Khabar Gembira' atau 'Basyirah', jika masih ada dalam kalangan kita merasakan sesebuah karya itu boleh dirampas, dijadikan hak kepentingan diri, diperkotak-katikkan hak ciptaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak akan menang atau menjadi nombor satu dengan sifat rakus memuat naik dan menyebarkan lagu yang tidak sampai sejam pun dilancarkan dengan cara tidak sah.

“Belajarlah menghormati dan menghargai penat lelah dan hak orang lain. Terima kasih kepada semua yang telah mendapatkan lagu 'Basyirah', semoga berkenan di hati dan sama-sama menghayati,” kata penyanyi berusia 41 tahun itu.

‘Basyirah’ kini boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music (iTunes), Spotify, Joox dan KKBox.- Bernama