317 pelajar UTeM pulang ke pantai timur

Pelajar menjalani saringan kesihatan di Dewan Canselor Kampus Induk Durian Tunggal di sini malam tadi sebelum dibenarkan pulang ke negeri masing-masing.
Pelajar menjalani saringan kesihatan di Dewan Canselor Kampus Induk Durian Tunggal di sini malam tadi sebelum dibenarkan pulang ke negeri masing-masing.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kumpulan keempat membabitkan seramai 317 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dihantar pulang ke kampung masing-masing di pantai timur selepas melepasi saringan kesihatan di Dewan Canselor Kampus Induk Durian Tunggal di sini, malam tadi.

Penghantaran pulang pelajar ke zon pantai timur turut disertai lima pelajar institut pengajian tinggi (IPT) lain masing-masing lima pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) menjadikan jumlah keseluruhan seramai 322 orang.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, penghantaran ke zon itu membabitkan 22 buah bas dan dua buah van yang bergerak ke tiga negeri pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan secara serentak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 14 buah bas UTeM manakala selebihnya dibantu oleh rakan universiti awam lain yang turut sama menyediakan bas bagi pergerakan malam tadi termasuk dua buah bas dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), lima buah bas dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan sebuah buah bas dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Penghantaran pelajar kali ini ke Pahang melibatkan kesemua 11 daerah di negeri itu dan di Kelantan membabitkan 10 daerah tidak termasuk Lojing.

"Penghantaran pelajar ke Terengganu melibatkan tujuh kawasan iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Besut," katanya.

Jelasnya, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaksanakan oleh semua pihak terbabit termasuk proses sanitasi oleh Jabatan Bomba terhadap semua bagasi pelajar, bas dan van yang digunakan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang kita harapkan di samping kita terus mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pihak UTeM telah melaksanakan tiga operasi penghantaran pulang secara berperingkat bermula dengan zon selatan, peringkat kedua zon tengah 1 dan peringkat ketiga penghantaran pulang pelajar ke Sarawak kelmarin.