Jadikan tindakan para Nabi contoh

Ustaz Zul Ramli (kanan) dan Fazrul pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Mencipta kenangan terindah.
Ustaz Zul Ramli (kanan) dan Fazrul pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Mencipta kenangan terindah.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai Muslim, segala tindakan para Nabi perlu dijadikan contoh termasuk Nabi Ismail AS yang tetap memanggil ayahnya dengan panggilan lembut walaupun nyawanya terancam.

Timbalan Pengerusi Dewan Dakwah, Majlis Dakwah Negara, Zul Ramli M Razali berkata, seorang anak wajib memanggil kedua orang tuanya dengan panggilan lembut dan sebutan yang baik

Menurutnya, panggilan yang boleh dijadikan contoh untuk dilakukan adalah sapaan Nabi Ismail AS kepada ayahnya, iaitu Ya Abati atau wahai ayah kesayangan ku walaupun selepas diperintah untuk disembelih.

"Apa rahsianya kata ulama, yang mungkin kita boleh renungkan. Kenapa keluar perkataan Abati daripada mulut (Nabi Ismail As) ketika diperintah untuk disembelih. Itu sangat mengejutkan.

"Benar apa yang dikatakan Saidina Umar bagaimana seorang ayah yang baik berjaya mempengaruhi hati anak menjadi baik dan ketika dia menjadi anak dia juga berbuat baik kepada ibu dan ayahnya," katanya di program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Mencipta kenangan terindah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini, semalam.

Hadir sama, Imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Almakki yang mengalunkan bacaan Surah Al Baqarah, ayat 126 hingga 129 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

Zul Ramli berkata, dalam Islam, orang tua diwajibkan untuk memanggil anak-anaknya dengan sebutan yang sangat sopan dan baik serta jauh dari perkataan-perkataan yang kasar.

"Kenapa Nabi Ismail itu boleh menjadi anak yang sangat baik kepada ayahnya pada ketika menerima perintah yang sangat berat berbanding perintah ayah pada masa ini bukanlah 'ekstrem' pun.

Artikel Berkaitan:

"(Anak-anak masa ini) kadang-kadang disuruh menyapu sahaja, suruh basuh pinggan sahaja, sudah tarik muka tetapi kalau belanja piza senyum meleret dan apabila diberi tugasan berlaku sebaliknya.

"Saya bercakap tentang semua peringkat, sebab kita tahu ayah akan tetap jadi ayah walaupun anaknya sudah berumur 50 tahun kalau ayah masih hidup, anak tetap ada hubungan dengan ibu dan ayahnya," kata beliau.

Menurutnya, jika kita mahu anak-anak kita menjadi seorang yang baik maka jadilah seorang anak yang baik kepada kedua ibu dan bapa kita.

"Sekiranya kita mahu anak anak mengingati diri kita maka perkara yang sama perlu dilakukan terlebih dahulu iaitu dengan mengingati kedua ibu bapa kita," katanya.