'Kami sempat bergurau semalam'

Razana Fatin Abdullah@Razali
Razana Fatin Abdullah@Razali
A
A
A

PEKAN - "Saya reda pemergian suami. Beliau pergi dalam keadaan gembira dan kami sempat bergurau pagi semalam, sebelum arwah ke Kuala Lumpur," demikian luah isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, Razana Fatin Abdullah @ Razali, 47.

Beliau yang ditemui pemberita selepas pengkebumian berkata, suaminya berangkat ke Kuala Lumpur pagi semalam atas urusan kerja bersama pemandunya untuk menghadiri mesyuarat.

"Memang terkejut sebab kami sempat bergurau dan gelak sebelum dia ke Kuala Lumpur dan saya ke pejabat. Dia sihat sahaja bahkan kelmarin dia hadir program sumbangan bubur lambuk kepada penduduk.

"Sekarang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi saya tidak menemaninya ke Kuala Lumpur. Kemudian saya dihubungi pemandu yang memberitahu dia dah tiada (meninggal dunia)," katanya sebak.

Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi hari ini dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, dua anak berusia 25 dan 27 tahun serta empat orang cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Chini meninggal dunia

Jenazah ADUN Chini selamat dikebumikan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman menzahirkan kesedihan atas kehilangan seseorang yang beliau anggap hebat di arena politik.

Ahli keluarga menyiram air di pusara Allahyarham Abu Bakar di Tanah Perkuburan Felda Chini 3.
Ahli keluarga menyiram air di pusara Allahyarham Abu Bakar di Tanah Perkuburan Felda Chini 3.

"Perhubungan beliau dengan masyarakat juga sangat bagus. Dia sebagai orang lama yang hebat. Di dalam mesyuarat exco beliau duduk di sebelah saya. Kalau dia nampak saya tertekan dia pasti menyapa.

"Dia sentiasa memberi nasihat kepada saya dalam hal kemasyarakatan. Sifat dan sikap beliau sebagai anak peneroka sangat disegani sebab itu warga Chini sayang kepadanya. Beliau juga seorang yang suka senyum," katanya.

Allahyarham Abu Bakar pernah dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Peneroka dalam pentadbiran kerajaan Pahang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob antara tahun 2013 dan 2018.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar mewakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi N23 DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.