SPR tunggu pemakluman rasmi Speaker DUN Pahang

Kenyataan SPR hari ini.
Kenyataan SPR hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil maklum kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya perlu menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Pahang sebelum mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

"SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

"Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Jenazah ADUN Chini selamat dikebumikan

Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Peneroka dalam pentadbiran kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob antara tahun 2013 hingga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi N23 DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pada pertembungan itu, beliau menewaskan wakil Gabungan Sejahtera daripada Pas, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.

Artikel Berkaitan:

Kawasan Parlimen P085 Pekan mempunyai empat kawasan DUN iaitu N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N22 Bebar, dan N23 Chini.

Semua kerusi DUN dalam Parlimen berkenaan dikuasai oleh BN menerusi calon UMNO.

Kerusi Parlimen Pekan dikuasai penyandangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama 11 penggal berturut-turut.