'Anwar cuba nafikan sumbangan kerajaan pada rakyat'

 Hanafiah dan Anwar
Hanafiah dan Anwar
A
A
A

KEMAMAN - Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menyangkal dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kedai pajak gadai sesak adalah bukti kesusahan rakyat.

Menurutnya, kenyataan Anwar yang dilaporkan sebuah portal itu seolah-olah rakyat Malaysia hidup susah sehingga terpaksa berebut-rebut mengunjungi kedai pajak gadai kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Anwar seolah-olah menafikan sumbangan kerajaan kepada rakyat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dan kerajaan Terengganu sendiri pada 19 Mac lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta sebagai insentif kepada golongan yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

"Sebaik sahaja PKP dilaksanakan, kita terus berbincang dengan Persatuan Pajak Gadai Terengganu supaya jangan mengambil kesempatan ke atas barang yang digadai.

"Ia termasuklah tidak mengenakan caj yang berlebihan dan melelong barang yang digadai akibat pemilik gagal membayar dalam tempoh tersebut walaupun telah tamat tempoh," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jelasnya, situasi kedai pajak gadai diserbu rakyat sejak beberapa hari lalu bukan kerana ingin menggadai barangan mereka sebaliknya ingin menjelaskan bayaran bagi mengelak barangan mereka dilelong atau dijual.

Hanafiah memberitahu, dia dimaklumkan oleh pemilik kedai pajak gadai di Kemaman bahawa seramai 170 orang mengunjungi kedai tersebut semalam dan kesemua mereka membuat bayaran tertunggak dan bukan membuat pinjaman.

"Saya dimaklumkan, daripada jumlah itu, hanya lima orang daripada mereka yang membuat pinjaman baharu dan selebihnya menjelaskan pinjaman.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga situasi di Kuala Terengganu, Jerteh dan Dungun," katanya.