Perlu bijak manfaat masa mengejar harta dunia, akhirat

Coach Zaid (kanan) ketika lintas langsung program program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Pinjamkan Masamu, Ayah petang tadi.
Coach Zaid (kanan) ketika lintas langsung program program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Pinjamkan Masamu, Ayah petang tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh masa yang diberikan ALLAH SWT kepada manusia iaitu 24 jam dalam sehari perlu dimanfaatkan dengan bijaksana demi mengejar harta di dunia dan akhirat.

Coach Smart Parenting Malaysia, Zaid Ahmad berkata, masa itu diibaratkan seperti emas dan ALLAH SWT memberikan manusia '24 ketul emas sehari' bersamaan dengan 24 jam dalam sehari.

"Namun emas itu boleh bertukar menjadi batu, tiada nilai. Ayah-ayah di luar sana mungkin merasa tertekan dalam mengejar harta dan mereka perlu ingat dengan pepatah ini, biar tidak banyak kuasa asal banyak masa.

"Ini kerana, apabila kita mengejar harta pasti emas yang dibawa itu akan dibelanjakan kepada kerjaya atau kepada perniagaan mereka.

"Namun saya bukan kata ia adalah salah tetapi jika kita telah 'over spend' emas itu kepada kerjaya, perniagaan di mana nanti ALLAH akan balas balik dengan pangkat tinggi, perniagaan besar dan sebagainya.

"Dalam masa sama kita sebenarnya perlu membayar 'harta' tersebut dengan masa semakin kurang bersama keluarga. Jadi itulah yang menjadi dilema kepada kita semua di seluruh dunia," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, keadaan itu dipanggil keseimbangan di antara kerjaya, kerja, perniagaan dan juga masa.

"Namun di situ juga kita perlu yakin bahawa dilema itu ada penyelesaiannya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi di sinilah keindahan ayah-ayah beriman yang tahu apakah harta sebenarnya yang perlu dikejar iaitu syurga addin," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Pinjamkan Masamu, Ayah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama, johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013, Ustaz Dr Anuar Hasin yang mengalunkan bacaan Surah al-Qasas ayat 77 hingga 80 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

Surah al-Qasas ayat 77 hingga 80 itu mengisahkan harta yang dikumpulkan di dunia ini adalah untuk dinafkahkan ke jalan kebaikan. Pencarian harta tidak seharusnya hingga menzalimi keluarga dan insan lain.

Perbincangan juga mencakupi keangkuhan manusia dalam mengumpulkan harta, adakalanya menganiaya orang lain termasuk isteri dan anak-anak.

Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian (portal, Facebook (FB),YouTube dan Twitter) serta FB Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

Siaran ulangan di TV AlHijrah (4.30 hingga 5.30 pagi) dan di Astro Oasis (10.30 hingga 11.30 malam) pada hari berikutnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut menyediakan sesi ‘Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal’ khusus untuk lelaki terutama yang bergelar ayah.

Menurutnya, antara pengisian program adalah membina perancangan bersama golongan ayah, baca dan tadabbur ayat al-Quran bersama qari pilihan serta pentadabbur.

“Pengisian lain, dengarkan Pesan Pakar dan Pesan Ulama, panduan dan solusi dari al-Quran, Call to Action buat ayah serta doa bersama.

“Semoga negara ini terbina bersama para ayah dengan mindset al-Quran, memimpin keluarga, isteri dan anak-anak masuk syurga sekeluarga,” katanya.