Eriksen perlukan masa

Eriksen
Eriksen
A
A
A

PEMAIN tengah Inter Milan, Christian Eriksen memerlukan lebih masa untuk menampilkan impak di kelab Itali itu.

Pemain veteran Inter, Borja Valero berkata, Eriksen masih belum menunjukkan prestasi sebenarnya dan dia percaya bekas pemain Tottenham Hotspur itu bakal menjadi antara tonggak penting kepada pasukan.

"Eriksen tiba di kelab ini pada pertengahan musim. Dia bermain untuk Spurs pada separuh musim liga dan kemudian berganti liga yang berbeza negara, bahasa dan latihan. Ia tidak mudah buatnya.

"Dia mungkin memerlukan masa, tetapi bagi saya dia akan cepat menyesuaikan diri kerana dia tahu apa yang perlu dibuat dan statusnya dalam kategori sebagai pemain terbaik dunia setakat ini," katanya.

Eriksen dibeli dari Spurs dengan nilai 20 juta euro (RM89.91 juta) Januari lalu dan hanya sekali diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan dalam lapan penampilan buat Inter.

Pemain berusia 28 tahun itu juga hanya berjaya menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol di saingan Liga Europa dan belum menampilkan persembahan yang diharapkan dalam saingan Serie A.

Malah, keputusan merekrut Eriksen juga menjadi pertikaian sesetengah pihak yang menyifatkan gaya permainannya tidak sesuai dengan corak yang dimahukan pengendali pasukan, Antonio Conte.

"Saingan liga dihentikan akibat pandemik Covid-19 ketika dia sudah menemui rentak. Jadi, tiada masalah buatnya untuk berjaya di kelab ini dan cuma memerlukan masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Eriksen menjaringkan 51 gol dan 62 bantuan jaringan di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai kelab London itu dari Ajax Amsterdam pada 2013 dan membantu Spurs mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama tahun lalu.