Syed Saddiq nafi KBS hanya tumpu e-Sports

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan bahawa kementeriannya hanya memberikan perhatian terhadap e-Sukan (e-Sports) sehingga mengabaikan kebajikan atlet-atlet kebangsaan.

Katanya, dakwaan itu tidak betul dan pihaknya sentiasa mencuba sebaik mungkin memberi tumpuan kepada semua pihak bagi memastikan pembangunan sukan dilakukan secara menyeluruh.

“Secara jujur saya tidak faham, kerana KBS tidak dapat peruntukan pun untuk e-Sports, yang dapat adalah MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia), iaitu agensi di bawah kementerian lain (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

“Bagi tujuan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai contoh, peruntukan RM280 juta bagi tahun ini adalah untuk sukan-sukan yang sedia ada iaitu sukan-sukan tradisional dan berprestasi tinggi yang dikategorikan dalam Sukan Olimpik dan temasya-temasya lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kritikan beberapa pihak, termasuk atlet kebangsaan yang mendakwa beliau hanya memberikan perhatian kepada e-Sports sehingga mengabaikan sukan-sukan utama.

Mengenai dakwaan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin melalui status yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam, mendakwa Syed Saddiq melalui KBS telah menamatkan kontrak jurulatihnya, Frantisek Petrovic dan menolak permohonan berlatih sendiri di luar negara, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian dengan secepat mungkin.

Syed Saddiq berkata, beliau musykil (tidak faham), dengan tindakan atlet berusia 23 tahun itu yang membuat dakwaan itu, tanpa menggunakan saluran yang betul, selain perkara itu hanya melibatkan Muhammad Irfan, MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tanpa campur tangan beliau.

“Saya dah semak dengan pihak KBS, beliau (Muhammad Irfan) tidak pernah membuat permohonan untuk jumpa saya. Saya dapat makluman daripada KOM dan MSN bahawa perjumpaan terakhir dengan beliau adalah pada Selasa yang lepas.

“Perbincangan tersebut belum selesai lagi, masih berjalan dan tiba-tiba dikenakan pada saya tetapi saya terima dengan hati yang terbuka. Menurut makluman daripada MSN dan KOM, beliau sendiri yang mahu menukar jurulatihnya, di mana beliau sendiri pergi ke Eropah mencari jurulatih baharu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila beliau memberi cadangan mengenai jurulatih baharu kepada MSN dan KOM pada Selasa lalu, mereka meminta sedikit masa kerana tidak mengenali kemampuan jurulatih tersebut,” katanya.

Mengenai latihan di luar negara, Syed Saddiq berkata MSN dan KOM berpendapat bahawa latihan di Republik Czech tidak sesuai kerana keadaan cuaca musim sejuk, selain kertas cadangan yang dikemukakan itu tidak lengkap.

Terdahulu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim mengecam tindakan Muhammad Irfan dan meminta atlet itu menarik balik kenyataannya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya juga akan bincang dengan MSN, persatuan sukan kebangsaan dan atlet untuk mencari penyelesaian mengenai tindakan beberapa atlet kebangsaan yang keluar daripada skuad kebangsaan kerana tidak berpuas hati dengan sistem ‘tier’ yang baharu.

“Sistem tier ini berdasarkan prestasi, bergantung kepada prestasi atlet untuk jangka masa panjang, bukan berdasarkan prestasi ‘one-off’. MSN juga memaklumkan bahawa ada atlet yang berlatih secara separuh masa tapi mahukan elaun sepenuh masa.

“Perkara ini akan diperhalusi. Tapi kalau prestasi dalam tempoh yang panjang tiada apa-apa penambahbaikan, lebih baik kita beri peluang kepada generasi muda yang boleh mengambil tempat tersebut supaya mereka boleh dilatih,” katanya. - Bernama