Tak kisah pemimpin politik atau tidak, asalkan layak

No Image Caption
A
A
A

Berita mengenai pemimpin politik diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan GLC menarik perhatian Merak Jalanan.

Terbaharu apabila lima pemimpin politik termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dilantik sebagai pengerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar baharu berkuat kuasa 1 Mei.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) manakala Azizah dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu selama dua tahun hingga 30 April 2022.

Pakatan Harapan (PH) pula menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik semua ahli Parlimen Perikatan Nasional menjawat jawatan dalam GLC adalah lebih teruk daripada kerajaan pentadbiran Barisan Nasional.

Sebenarnya, lantikan orang politik dalam GLC bukan perkara baharu bahkan PH juga mengamalkan perkara sama melantik orang-orang mereka dalam syarikat berkepentingan.

Oleh itu BN, PH dan Perikatan Nasional adalah sama sahaja dalam tindakan melantik pemimpin politik dalam GLC.

Namun, adakah tindakan itu salah?

Bagi Merak Jalanan tindakan itu tidak salah selagi individu yang dilantik itu berkebolehan dalam menguruskan GLC, walaupun yang dilantik itu adalah orang politik.

Artikel Berkaitan:

Selagi pemimpin politik itu amanah, tidak menjarah kekayaan GLC untuk kepentingan peribadi dan mengutamakan rakyat, maka lantiklah sebanyak mana individu yang dimahukan asalkan mereka layak.

Apa guna melantik orang bukan politik tapi tidak pandai buat kerja, membuatkan GLC bertambah rugi dan hilang arah tuju.