Bersatu lebih baik bersama PH: Mukhriz

MUKHRIZ
MUKHRIZ
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan parti itu perlu kembali bersama Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional berikutan kedudukan kerjasama politik tidak menentu antara Bersatu, UMNO dan Pas.

Beliau melalui kenyataan dalam laman sosial Facebooknya memberitahu bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh sebuah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut menyifatkan pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional juga sangat pahit bagi Bersatu dan boleh dirasai sehingga ke peringkat akar umbi.

"Ini kerana Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.

"Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan.

"Itulah sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu," tulisnya dalam laman Facebook Mukhriz Mahathir FC hari ini.

Terdahulu, beliau membangkitkan beberapa persoalan berhubung kerjasama Bersatu dengan Perikatan Nasional selain turut mempersoalkan mengenai kerjasama tersebut sama ada dapat bertahan sehingga Dewan Rakyat dibubar atau sebaliknya.

Ini berikutan katanya, ketiga-tiga parti politik tersebut mewakili masyarakat Melayu dan Islam dengan asasnya menumpukan orang Melayu khususnya di luar bandar, sambil memberitahu semua parti tersebut telah bertembung di kawasan-kawasan sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Jika Dewan dibubarkan dalam tahun ini juga, adakah Bersatu akan terpaksa berhadapan dengan 'rakan' politiknya, UMNO dan Pas di setiap kerusi termasuk Pagoh, Tambun, Alor Gajah dan Titiwangsa? Adakah situasi tidak menentu ini baik untuk rakyat dan negara?" katanya.

Beliau juga turut mempersoalkan nasib jemaah menteri dari Bersatu selepas Dewan Rakyat dibubarkan sama ada mereka akan bertanding di kawasan masing-masing sambil melawan Muafakat Nasional.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh katanya, di Parlimen Ketereh, Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa dari UMNO dilantik Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Ketua Bahagian Bersatu, Senator Dr Mohd Radzi Jidin yang kalah kepada Annuar pada pilihan raya umum lalu dilantik Menteri Kanan Pendidikan.

"Siapakah yang akan dipilih sebagai calon di kerusi itu pada pilihan raya nanti atau adakah mereka berdua harus berentap merebut kerusi yang sama?" soalnya.

Jelasnya, daripada pendirian yang dinyatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa pihak, Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak wujud kerana tiada sebarang perjanjian antara UMNO, Pas dan BN bersama Bersatu untuk bergabung secara rasmi.

"Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama PH? Beberapa kenyataan oleh pemimpin-pemimpin PH menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu kembali.

"Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan negara," katanya.