Hak pekerja, majikan akan sentiasa dibela

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

DATUK Seri M Saravanan mengangkat sumpah jawatan Menteri Sumber Manusia kira-kira seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu susulan wabak Covid-19.

PKP ternyata memberi kesan yang besar kepada lebih 15 juta pekerja di Malaysia.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal sumber manusia, Saravanan mengakui isu pemotongan gaji dan cuti tanpa gaji, selain pembuangan pekerja adalah perkara yang paling sensitif pada masa ini.

Dalam wawancara menerusi e-mel bersama Sinar Ahad minggu ini, Saravanan turut menyentuh mengenai kepentingan membela hak kedua-dua pekerja dan majikan.

Beliau juga membayangkan situasi bekerja pasca-Covid-19 yang bakal mewujudkan kelaziman baharu di tempat kerja. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini khususnya dari segi keselamatan pekerja daripada dijangkiti wabak.

SINAR AHAD: Sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu, Datuk Seri berperanan besar dalam memastikan nasib pekerja di negara ini terus terbela. Apakah cabaran terbesar Datuk Seri sekarang dalam merealisasikan perkara tersebut?

SARAVANAN: Penularan wabak Covid-19 merupakan sesuatu yang belum pernah kita alami sebelum ini. Pada masa yang sama, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan rakyat. Tumpuan utama buat masa ini adalah untuk memastikan kemenangan kita mengatasi penularan wabak berbahaya ini. Kita tiada pilihan lain. Sama ada laksanakan PKP ataupun hadapi kesan penularan wabak ini yang lebih memudaratkan kedudukan ekonomi dan sosial negara.

Antara cabaran pengurusan sumber manusia dalam tempoh PKP adalah dari aspek pemantauan kebenaran majikan beroperasi, keperluan kehadiran bekerja bagi pekerja, pembayaran gaji penuh oleh majikan, potongan gaji, isu menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji serta kaedah bekerja dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Cabaran lain adalah untuk memastikan majikan dan pekerja mematuhi Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sewaktu beroperasi dalam tempoh PKP bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Apakah situasi pekerjaan di negara ini terkawal?

Situasi pekerjaan sehingga hari ini dilihat masih terkawal. Bagaimanapun, sudah semestinya banyak persoalan yang timbul berkaitan pekerjaan dan hal-hal perburuhan oleh pelbagai pihak.

Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya amat memahami kesukaran yang dihadapi para pekerja kita. Saya juga mengambil berat akan kesulitan yang ditanggung pihak majikan. Justeru, saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan seperti kesatuan pekerja dan majikan berhubung perkara ini.

Malah, isu ini juga telah dibawa kepada perhatian menteri-menteri yang terlibat untuk meneliti dan melihat bentuk bantuan yang diberikan kepada majikan dan pekerja yang terjejas.

Apa yang penting, selain melindungi para pekerja kita, kerajaan juga bertanggungjawab menjamin daya tahan perniagaan. Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada pelbagai pemegang taruh, memperhalusi dan meneliti rancangan-rancangan khas untuk mengurangkan beban majikan.

Siaran langsung perutusan M Saravanan sempena Hari Pekerja. - Foto Bernama
Siaran langsung perutusan M Saravanan sempena Hari Pekerja. - Foto Bernama

Satu perkara yang menjadi beban besar kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kita adalah berkenaan dengan soal gaji atau upah pekerja. Bagaimana kerajaan menangani isu ini?

Beban upah yang terpaksa dipikul oleh PKS amat berat. Kegagalan ataupun kelewatan menangani keadaan ini sudah tentu akan menjejaskan pelaksanaan pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini.

Oleh itu, kerajaan berusaha mencari jalan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak. Hasilnya ialah pelaksanaan program subsidi upah dengan jumlah peruntukan RM13.8 bilion yang akan memanfaatkan 4.8 juta pekerja.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM7.9 bilion adalah peruntukan tambahan yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PKS Tambahan atau Prihatin Tambahan. Sebanyak RM5.9 bilion lagi sudah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020. Program ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan PKS dan masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan PKP.

Adakah Datuk Seri merasakan bantuan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) PKS mencukupi untuk menampung kerugian yang terpaksa dihadapi oleh majikan susulan pelaksanaan PKP?

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah menyalurkan dana kepada kementerian saya untuk membantu para pekerja dan majikan dalam berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

Untuk pengetahuan semua, program subsidi upah merupakan penambahbaikan dan perluasan kepada program pengekalan pekerjaan (ERP) dalam Pakej Prihatin yang pertama.

Program ERP mempunyai peruntukan sebanyak RM120 juta. Ia adalah bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji oleh majikan bagi mengurangkan kos operasi perniagaan yang terjejas akibat Covid-19. Program ini khusus untuk pekerja swasta yang mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan bergaji RM4,000 ke bawah.

Program subsidi upah yang diperkenalkan di bawah Pakej Prihatin pada 27 Mac 2020 pula bertujuan membantu majikan dalam semua jenis perusahaan yang terkesan akibat Covid-19 untuk meneruskan operasi tanpa terpaksa mengurangkan tenaga pekerja.

Program subsidi upah adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah hanya untuk tempoh tiga bulan sahaja.

Sejauh manakah subsidi upah ini mampu melindungi pekerjaan rakyat?

Program subsidi upah yang pada mulanya diperkenalkan dalam Pakej Prihatin telah ditambah baik dengan memberi penekanan kepada PKS menerusi Prihatin Tambahan. Harapan kerajaan ialah pakej ini dapat melindungi pekerjaan rakyat kita, di samping menjamin daya tahan perniagaan. Mekanisme ini juga bertujuan membantu meringankan beban majikan membayar upah pekerja semasa PKP.

Malah, program subsidi upah juga adalah antara inisiatif yang boleh membantu kelangsungan pekerjaan terutamanya dalam industri PKS.

Terdapat beberapa pecahan kategori untuk program subsidi upah ini. Kategori pertama, syarikat yang mempunyai pekerja lebih 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 pekerja.

Berikutnya, syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sekitar 76 hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja. Bagi kategori ketiga, syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Antara syarat yang ditetapkan untuk PKS yang mendapat faedah daripada program ini termasuklah majikan tidak boleh membuang pekerja; majikan tidak boleh memaksa pekerja cuti tanpa gaji dan majikan tidak boleh memotong gaji pekerja. Selain itu, majikan perlu mengekalkan pekerja mereka dalam pekerjaan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

Jika majikan yang tidak menepati syarat-syarat ini, pekerja boleh membuat laporan kepada Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja JTK untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, saya ingin menyeru kepada majikan dan pekerja supaya berbincang mengenai terma pekerjaan.

Ini termasuklah pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji semasa tempoh PKP.

Bagaimana pula respons majikan terhadap subsidi upah bernilai RM13.8 bilion yang ditawarkan kerajaan?

Sehingga 27 April 2020, pihak kementerian telah menerima 234,801 permohonan daripada majikan membabitkan 1.85 juta pekerja.

Ingin saya tekankan di sini bahawa program subsidi upah berperanan penting bagi mengelakkan majikan mengurangkan pekerja dan seterusnya berupaya mengekalkan pekerjaan. Saya percaya gabungan program subsidi upah dan ERP serta insentif ekonomi lain dalam Pakej Prihatin dapat meringankan beban majikan.

Selain itu, program ERP dan subsidi upah yang dilaksanakan juga telah melakar sejarah tersendiri di Malaysia memandangkan ia adalah kali pertama dasar pasaran buruh aktif diperkenalkan.

Malah, langkah itu juga meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Kanada dan Australia dalam memastikan kestabilan pasaran buruh dan mengurangkan kadar pengangguran. Langkah ini dapat memastikan perusahaan terus beroperasi semasa krisis dan kekal produktif sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KSM) berharap dengan sokongan daripada majikan dan pekerja dalam tempoh krisis ini, program ERP dan subsidi upah akan dapat memberikan impak yang sangat positif di samping menyumbang kepada kestabilan dalam ekonomi, terutamanya dalam mengekang peningkatan kadar pengangguran di Malaysia.

Saya percaya jika program ini tidak dilaksanakan, dikhuatiri ia akan memberi kesan yang amat negatif kepada pasaran buruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyatakan bahawa hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela. Apakah komen Datuk Seri?

Kerajaan kita amat prihatin akan kelangsungan perniagaan dan nasib pekerja, lebih-lebih lagi ketika tempoh PKP ini. Kerajaan juga berharap agar tiada situasi seperti perniagaan terpaksa ditutup, pekerja diberhentikan, majikan mengambil langkah memotong gaji atau memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja.

Justeru, KSM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Pakej Prihatin bagi membantu majikan dan pekerja selain mengurangkan impak Covid-19 seperti ERP, program subsidi upah, penangguhan bayaran balik pinjaman dan penangguhan bayaran levi.

Malah, kerajaan juga sentiasa bersikap adil dalam memastikan hak dan kebajikan majikan serta pekerja dilindungi sewajarnya. Ini seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pakej Prihatin yang bantuannya meliputi semua lapisan masyarakat.

Apa yang jelas, Pakej Prihatin Tambahan adalah bantuan pihak kerajaan yang cukup besar dan komprehensif. Ini terbukti dengan jumlah subsidi upah yang lebih tinggi daripada RM600 kepada RM1,200, pemberian geran kepada usahawan mikro berjumlah RM3,000, pinjaman kredit mikro Bank Simpanan Nasional dan Tekun Nasional serta diskaun levi pekerja asing.

Bantuan seperti ini sudah pasti akan membantu golongan yang terkesan mempunyai pertambahan aliran wang tunai bagi memastikan kesinambungan perniagaan mereka. Ia juga umpama ‘pelampung’ yang dapat membantu para usahawan kita meneruskan operasi perniagaan dan berdepan cabaran akibat Covid-19 sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Apakah tumpuan Kementerian Manusia kini?

Peranan KSM kini tertumpu kepada usaha dan tindakan bagi menjamin hak dan kebajikan pekerja serta majikan dalam sektor pekerjaan sentiasa terpelihara. Adalah menjadi keutamaan kementerian agar sektor pekerjaan dapat terus beroperasi dan bertahan sepanjang tempoh PKP dan selepasnya. Dalam masa yang sama, berusaha memastikan pasaran buruh negara tidak terjejas dengan teruk ekoran pandemik Covid-19.

KSM juga sentiasa memastikan pihak yang terlibat mematuhi semua undang-undang perburuhan bagi memastikan keharmonian perusahaan terpelihara, sekalipun negara berhadapan dengan wabak Covid-19. Kementerian menerusi jabatan dan agensi seperti JTK, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Perkeso, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) juga telah mengeluarkan senarai soalan lazim sebagai panduan kepada pekerja dan majikan.

Selain itu, kementerian saya juga mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh seperti Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perladangan (NUPW) bagi mengenal pasti masalah antara pekerja dan majikan serta cara mengatasinya.

Saya juga ingin kongsikan di sini bahawa JTK sentiasa mengambil tindakan terhadap semua aduan yang dikemukakan oleh pekerja meskipun semasa tempoh PKP. Oleh itu, majikan dan pekerja boleh merujuk kepada JTK bagi mendapatkan nasihat dan penyelesaian. Apa yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela.

Kelaziman baharu bekerja selepas wabak Covid-19 berlalu

SINAR AHAD: Terdapat permintaan supaya kerajaan mewajibkan majikan mematuhi dan melaksanakan peraturan tertentu di tempat kerja bagi melindungi pekerja daripada ancaman Covid-19 selepas PKP berakhir. Adakah langkah itu akan dilaksanakan?

SARAVANAN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin melalui aktiviti jabatan-jabatan di bawah kementerian ini.

Saya telah meminta JKKP, Jabatan Tenaga Kerja dan Perkeso untuk sama-sama menggembleng kepakaran bagi mewujudkan mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian untuk melaksanakan peraturan-peraturan bagi melindungi pekerja daripada ancaman Covid-19 selepas PKP berakhir.

KSM juga sentiasa menyambut baik dan menyokong sebarang penetapan serta SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya bagi membolehkan lebih banyak subsektor diberi kebenaran beroperasi, kawalan bilangan pekerja secara syif atau penggiliran, dan garis panduan pekerjaan yang melibatkan aspek keselamatan serta kesihatan.

KSM sentiasa memberikan input relevan berkaitan aspek pekerjaan, perburuhan dan keselamatan serta kesihatan pekerjaan dalam Jawatankuasa Khas Penilaian yang ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menilai impak pengoperasian sektor-sektor ekonomi fasa pertama PKP dan mengenal pasti sektor ekonomi baharu yang dibenarkan beroperasi dalam fasa dua dan tiga.

Antara SOP yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa tersebut ialah pertama, syarikat hendaklah melantik seorang atau lebih penyelaras bagi membuat penyelarasan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di tempat kerja. Penyelaras ini hendaklah terdiri daripada pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO), penyelaras keselamatan dan kesihatan (OSH-C), penyelia tapak binaan (SSS) atau setiausaha jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Kedua, syarikat hendaklah menyelenggara sistem pengudaraan di tempat kerja bagi memastikan ia beroperasi secara efektif dan cekap; dan ketiga, pihak majikan perlu mengambil kira aspek keselamatan pengurusan bahan kimia dalam melakukan proses sanitasi bagi mengelakkan pekerja yang mengendalikan proses ini dan pekerja yang berada di tempat kerja terdedah kepada bahan kimia secara berlebihan.