X

Kindly register in order to view this article
!

BNM perlu berpihak kepada peminjam, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah
A
A

PETALING JAYA - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil pendirian yang memihak kepada peminjam ketika isu kekeliruan mengenai moratorium pinjaman bank, kata pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, BNM sebagai sebuah badan penyelia kewangan perlu berada di sisi peminjam ketika negara sedang berdepan krisis wabak koronavirus (Covid-19).

“Apalah sangat jumlah pendapatan beberapa bulan yang hilang daripada faedah pinjaman sewa beli yang tidak kemas ini? Bertimbang rasalah,” katanya dipetik daripada portal Free Malaysia Today hari ini.

Tengku Razaleigh yang pernah menjadi Menteri Kewangan pada era 80-an turut mengingatkan bahawa industri perbankan adalah satu-satunya industri yang sentiasa untung.

“Dengan ‘lockdown’ atau separa ‘lockdown’, sama ada kita kerja mahupun tidak, sebenarnya sewaktu semua orang sedang tidur, mereka sedang menjana keuntungan.

“Meskipun dengan moratorium, industri bank mendapat keuntungan daripada pinjaman yang lain. Mereka tidak mungkin rugi melainkan mereka mencuri atau menipu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, moratorium adalah bererti dikecualikan penalti, faedah dan sebagainya.

"Bagi institusi ‘Islamik’ bukan saja tak boleh kenakan faedah bahkan fikir hendak kenakan faedah pun salah kerana itu bertentangan dengan perundangan syariah.

“Dalam keadaan susah sekarang, elok sangat pengecualian diberi kepada mereka yang terhutang. Ia tidak akan menyebabkan kerugian besar sangat,” katanya.

Kontroversi timbul selepas pengumuman BNM dan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) mengenai tawaran moratorium pinjaman sewa beli baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan peminjam.

Kenyataan mereka dilihat berbeza daripada apa yang difahami sebelum ini oleh peminjam yang mengambil tawaran moratorium bagi pinjaman sewa beli, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Soalan lazim atau FAQ diedarkan BNM Mac lalu antara lain dikatakan menyatakan bayaran bulanan sewa beli tidak akan berubah sebelum dan selepas tempoh moratorium enam bulan.

Bagaimanapun, ABM baru-baru ini menggariskan dua pilihan kepada peminjam yang memilih moratorium.

Ia sama ada mereka membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan atau memilih untuk meneruskan pembayaran ansuran selepas Oktober 2020 dengan lanjutan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang.

Ini bermakna terdapat faedah ke atas faedah yang tertangguh bayaran kerana mengambil tawaran moratorium.

Kenyataan ABM kemudiannya disahkan BNM yang turut mengumumkan perubahan prosedur moratorium pinjaman perjanjian sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam berkadar tetap.

Menurut BNM, peminjam perlu melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran menyertai moratorium supaya sah di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Keputusan itu dianggap u-turn oleh beberapa pihak yang mempersoalkan jika pihak berkuasa kini menyebelahi bank yang menanggung kerugian kerana menawarkan moratorium ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!