Bekas KSU Perbendaharaan dilantik Pengerusi KWSP

Tengku Zafrul (kanan) meraikan hari persaraan Ahmad Badri sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan pelantikannya sebagai Pengerusi KWSP baharu berkuat kuasa hari ini.
Tengku Zafrul (kanan) meraikan hari persaraan Ahmad Badri sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan pelantikannya sebagai Pengerusi KWSP baharu berkuat kuasa hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang bersara daripada perkhidmatan awam hari ini dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelantikan itu diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi laman Facebook peribadinya susulan Ahmad Badri dipilih bagi menggantikan bekas penyandangnya, Tan Sri Samsudin Osman.

Tengku Zafrul berkata, Ahmad Badri telah menyerahkan secara rasmi tugasannya kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu dilantik, Datuk Asri Hamidon setelah berkhidmat di kementerian selama hampir 31 tahun.

"Selepas Mesyuarat pasca Kabinet hari ini, pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan telah mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri (Ahmad Badri) di atas sumbangan beliau begitu lama menabur bakti.

"Tan Sri (Ahmad Badri) telah menyerahkan secara rasmi tugasannya kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu dilantik, Datuk Asri Hamidon.

"Saya telah mengenali Tan Sri (Ahmad Badri) bertahun-tahun lamanya dan kami telah duduk bersama dalam banyak mesyuarat mengenai industri perbankan negara," katanya hari ini.

Ahmad Badri (dua dari kanan) mengetik kad kedatangan kerja sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan buat kali terakhir sebagai simbolik hari persaraan beliau hari ini.
Ahmad Badri (dua dari kanan) mengetik kad kedatangan kerja sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan buat kali terakhir sebagai simbolik hari persaraan beliau hari ini.

Tengku Zafrul turut menyifatkan keputusan pelantikan Ahmad Badri sebagai Pengerusi KWSP baharu sangat bersesuaian dengan kepakaran beliau dalam merangka dasar kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat berbesar hati kerana kami akan terus berurusan dengan Tan Sri atas kapasiti beliau yang baharu sebagai Pengerusi KWSP, satu tanggungjawab yang sangat bersesuaian dengan pengalaman dan kepakaran beliau dalam merangka dasar kewangan. Tahniah, Tan Sri!

"Pada masa yang sama juga, tahniah diucapkan kepada Datuk Asri atas pelantikan beliau sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

"Saya yakin melalui kerjasama dan kepakaran beliau, Kementerian Kewangan akan dapat memacu ekonomi negara agar terus berkembang dalam tempoh pasca koronavirus (Covid-19) yang mendatang," katanya.