Hanya untuk jangka masa pendek

Profesor Dr Barjoyai Bardai
Profesor Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan peniaga boleh menarik nafas lega dengan keputusan kerajaan membenarkan sebahagian besar sektor perniagaan beroperasi semula menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun berkata, ia hanya untuk jangka masa pendek.

Beliau sehubungan itu berkata, modul pentadbiran dan strategi perniagaan perlu diubah segera selaras dengan amalan kehidupan norma baharu rakyat negara ini.

"Peniaga perlu mengubah strategi perniagaan dengan tidak sekadar bergantung kepada kaedah konvensional tetapi perlu disokong kaedah terkini mengikut amalan kehidupan norma baharu.

"Begitu juga dengan kerajaan yang perlu cipta semula amalan pentadbiran sedia ada kepada amalan pentadbiran yang boleh mengurangkan kos pentadbiran terutama membabitkan aspek pembayaran gaji dan emolumen penjawat awam," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Barjoyai berkata, satu tindakan drastik meliputi jangka masa sederhana dan panjang perlu direncanakan kerajaan bagi memastikan operasi perniagaan kembali rancak walaupun di bawah amalan kehidupan norma baharu.

"Kerajaan perlu melihat keperluan menurunkan margin kebergantungan rakyat kepada sektor pekerjaan untuk hidup daripada 80 peratus ketika ini kepada 50 peratus pada masa hadapan. Sektor pekerjaan sedia ada akan runtuh jika tidak disokong oleh pengenalan ekonomi baharu.

"Justeru, rakyat perlu mengubah mentaliti daripada bergantung sektor pekerjaan untuk mendapatkan sumber pendapatan, beralih kepada keberanian mencuba peluang menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 atau sektor pertanian," katanya.

Artikel Berkaitan: