X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada perunding luar dalam Laksana: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul mencuba Sistem Geran Khas Prihatin selepas melancarkan sistem berkenaan ketika lawatan kerja ke Hasil Care Line & Hasil Recovery Call Centre, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A

BANGI - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan bahawa kerajaan tidak mengambil khidmat perunding luar dalam membantu kementerian melaksanakan pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang ditubuhkan pada Mac tahun ini dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan tidak mendapatkan khidmat perunding luar.

"Saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada perunding yang dibayar oleh Kementerian Kewangan dan tidak ada perunding (luar). Apa yang kita ada adalah kakitangan yang dipinjamkan daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan pegawai daripada agensi lain seperti Exim Bank.

"Dan saya juga ingin memaklumkan bahawa pasukan Pakej Prihatin kesemuanya adalah penjawat awam daripada Kementerian Kewangan. Jadi, saya tak tahu dari mana datangnya maklumat ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hasil Care Line and Hasil Recovery Call Centre Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baru dilantik, Datuk Asri [email protected]

Tengku Zafrul berkata demikian selepas diminta menjelaskan laporan berita yang mendakwa beberapa firma perundingan terbesar di negara itu diminta untuk membantu Kementerian Kewangan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi kerajaan.

Memetik sumber, artikel itu melaporkan mereka yang terlibat termasuklah daripada Ernst &Young (EY) dan CIMB Group Holdings Bhd di bawah Laksana, terutamanya daripada EY dengan beberapa konsultan daripada CIMB dan wakil daripada Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Soalan Lazim berkaitan dengan moratorium pinjaman bagi menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung perkara itu.

"Apa yang jelas sekarang adalah faedah masih terakru tetapi tidak dikompaunkan.

"Lebih sebulan lepas apabila moratorium pinjaman kali pertama diumumkan Bank Negara, terdapat sedikit kekeliruan, saya rasa kerana komunikasi tidak jelas tetapi syukurlah pagi ini Bank Negara telah mengeluarkan Soalan Lazim mereka bagi menjelaskan kekeliruan ini. Saya harap kita tidak lagi membuat spekulasi berkenaan perkara ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, semua bank perlu mematuhi Akta Sewa Beli 1967 dan garis panduan Syariah yang memerlukan mereka mendapat persetujuan daripada pelanggan bagi moratorium pinjaman.

"Itu adalah perbezaan prosedur, yang mana kini semua bank perlu meminta kebenaran. Semua pelanggan masih layak secara automatik, tetapi persetujuan perlu diberikan oleh pelanggan,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!