Hari Pekerja 2020: Norma baharu catat sejarah

Jambatan Saloma Link dinyalakan dengan lampu biru sebagai tanda solidariti penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban dalam ‘peperangan’ melawan Covid-19 baik di sektor awam, swasta serta para sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jambatan Saloma Link dinyalakan dengan lampu biru sebagai tanda solidariti penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban dalam ‘peperangan’ melawan Covid-19 baik di sektor awam, swasta serta para sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR- Sambutan Hari Pekerja 2020 hari ini pastinya mencipta sejarah baharu khususnya buat tenaga kerja Malaysia.

Ia bukan hanya kerana negara sedang berjuang memerangi wabak koronavirus (Covid-19), namun lebih daripada itu, implikasi daripada krisis ini terhadap pekerja pelbagai sektor secara keseluruhannya.

Mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac dan kini memasuki fasa keempat sehingga 12 Mei nanti, ironinya, banyak perubahan, pengubahsuaian bahkan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang bergelar pekerja dalam berhadapan situasi ketidaktentuan ini.

Frontliners

Paling ketara, krisis Covid-19 menyaksikan tanggungjawab dan peranan besar yang dipikul para petugas barisan hadapan atau frontliners khususnya petugas kesihatan.

Ramai antara mereka yang perlu bekerja lebih masa, meninggalkan anak dan keluarga serta memerah keringat dan tenaga termasuk ketika bulan Ramadan.

Terdapat juga dalam kalangan mereka yang bergadai nyawa serta merisikokan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, penghargaan sewajarnya perlu diberikan kepada pekerja yang masih ‘turun padang’ dan melaksanakan tugas seperti biasa.

“Mereka ini terdiri daripada petugas kesihatan, anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai pihak lagi yang terlibat bertungkus lumus secara langsung atau secara tidak langsung dalam membanteras pandemik ini.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan segelintir pihak mempertikaikan cara kerja mereka dan membangkitkan isu yang tidak sepatutnya amatlah tidak wajar.

“Berhadapan situasi yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan baik dengan komitmen yang diberikan semua pekerja terlibat dalam bidang dan kepakaran masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Norma baharu

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP turut menyaksikan perubahan sistem atau cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat tidak kira di sektor kerajaan mahupun swasta.

Beliau berkata, jika sebelum ini bertahun-tahun lamanya setiap pagi pekerja perlu berhadapan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan bandar untuk sampai ke pejabat, namun rutin itu berubah apabila kebanyakan pekerja bahkan mungkin majikan sendiri kini bekerja dari rumah.

“Penularan Covid-19 dan PKP mengakibatkan majoriti pekerja tidak dapat menjalankan tugas mereka seperti kelaziman dan perlu beradaptasi diri dengan norma baharu. Walaupun ramai pekerja yang diberikan cuti oleh majikan, namun masih ramai juga yang perlu bekerja dari rumah.

“Bekerja dari rumah tidak bermakna pekerja bebas daripada pemantauan majikan, sebaliknya sebarang kemas kini tugasan dan soal integriti turut diambil kira.

“Situasi ini juga mungkin lebih mencabar bagi segelintir pekerja kerana perlu membahagikan masa antara tugas pejabat, mengurus rumah tangga dan anak-anak bahkan perlu belajar menggunakan aplikasi tertentu untuk berkomunikasi dengan majikan dan rakan sekerja,” katanya sambil menambah, memasuki fasa keempat PKP norma baharu itu kini semakin boleh diterima dan diadaptasi sebagai rutin harian.

Tolak ansur

Berkongsi pandangan, Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin berkata, pekerja dan majikan perlu mengamalkan sikap saling bertolak ansur dan sentiasa berbincang bagi memastikan kelancaran urusan kerja sepanjang krisis Covid-19.

“Ketika awal-awal PKP, pekerja dan majikan kebanyakannya boleh menerima situasi yang berlaku namun apabila ia dilanjutkan dan kini memasuki fasa keempat sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada kedua-dua pihak.

“Pekerja mungkin bimbang akan risiko pemotongan gaji, elaun atau mungkin pemberhentian kerja manakala di pihak majikan pula perlu memastikan sumber kewangan dan aliran tunai mencukupi demi kelangsungan syarikat atau perniagaan.

“Dalam hal ini, kedua-dua pihak perlu berbincang dan memahami situasi antara satu sama lain. Pekerja mungkin perlu lebih bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai pekerjaan manakala majikan pula perlu menghargai pengorbanan pekerja yang sanggup melalui situasi ‘jatuh bangun’ bersama mereka,” katanya.

Mencabar

Menyifatkan sambutan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun, pada kali ini adalah yang paling mencabar, Dr Shawaludin bagaimanapun berkata rakyat beruntung kerana Malaysia mampu melalui fasa getir ini jauh lebih baik berbanding negara lain.

Beliau berkata seluruh rakyat terutama mereka yang berkerja di barisan hadapan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda #KitaMestiMenang dalam menentang Covid-19.

“Banyak kebaikan berbanding keburukan yang Malaysia peroleh secara keseluruhan. Di saat negara lain masih terkapai-kapai mencari penyelesaian, dengan kebajikan rakyat yang tidak terbela, kelengkapan dan peralatan hospital yang tidak mencukupi, kegagalan kerajaan memainkan peranan dan menyumbang kepada isu mental, namun Malaysia berjaya melaluinya dengan baik.

“Semuanya melalui peranan yang dimainkan pelbagai pihak. Tidak kira petugas barisan hadapan yang perlu ‘turun padang’ atau pekerja yang duduk di rumah dan patuh kepada arahan untuk bekerja dari rumah, semua pihak menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, setakat semalam (30 April), penularan Covid-19 di negara ini telah menjangkiti 6,002 orang dan meragut 102 nyawa. Namun berita baiknya, kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj kini meningkat sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapan di Twitter rasmi KKMPutrajaya semalam, turut berkongsi Malaysia baru saja memasuki fasa pemulihan.

Dalam pada itu menyentuh Tema Hari Pekerja 2020, “Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu", Dr Shawaludin berpendapat rakyat berkemungkinan besar tidak akan kembali kepada rutin normal sebelum ini sebaliknya perlu meneruskan norma baharu walaupun selepas tamat tempoh krisis Covid-19.

“Bukan sahaja Malaysia bahkan seluruh dunia turut mengalami perkara yang sama. Rakyat perlu bekerja seperti biasa bagi memulihkan keadaan ekonomi negara namun mereka juga perlu meneruskan norma baharu seperti penjarakan sosial, penjagaan kebersihan diri, penggunaan pembasmi kuman dan sebagainya.

“Penyesuaian dalam mengadaptasi norma baharu ini bukan sahaja boleh membantu mencegah jangkitan Covid-19 bahkan penyakit-penyakit lain di samping menjadikan rakyat lebih sihat, bersih dan kuat,” katanya.

Selamat Hari Pekerja 2020. #KitaMestiMenang! -Bernama