'Jual ulam dalam online pun ada sambutan'

Siti Rohani menggunakan aplikasi eDESA@Bazar untuk memasarkan pelbagai jenis ulam-ulaman yang dijualnya dalam talian.
Siti Rohani menggunakan aplikasi eDESA@Bazar untuk memasarkan pelbagai jenis ulam-ulaman yang dijualnya dalam talian.
A
A
A

KUALA NERANG - Seorang peniaga ulam dari Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap Kiri, dekat sini tidak menyangka jualannya menerusi dalam talian selepas menggunakan aplikasi eDESA@Bazar sejak awal Ramadan lalu.

Siti Rohani Mohd Isa, 38, berkata, pada awalnya dia mengakui ragu-ragu dengan keberkesanannya kerana masih belum ada peniaga ulam menggunakan aplikasi itu.

Bagaimanapun sangkaannya meleset selepas empat pelanggan membuat pesanan pada hari pertama dan beliau memuat naik ulamnya dan yakin penggunaan aplikasi itu mampu memasarkan produknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Mungkin dalam tempoh PKP ramai memilih untuk membeli di dalam talian. Lagipun tidak ramai peniaga menjual ulam dalam talian," katanya yang menjual ulam-ulaman sejak tujuh tahun lalu di Pasar Pekan Kuala Nerang.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, antara ulam-ulaman yang laris dijual ialah pucuk daun letup, pucuk putat, pucuk daun asin-asin, peria pantai, cekur, pucuk daun gajus, petai, bunga kantan, rebung hutan, daun selom, daun kesom, daun kadok, belimbing buluh dan daun maman.

Jelasnya, jualan dalam talian turut meningkatkan keuntungan berbanding sebelum ini yang hanya sekitar RM50 sehari.

"Saya berharap kaedah ini terus membantu saya sekeluarga meningkatkan pendapatan. Paling penting aplikasi ini juga mampu menggalakkan masyarakat untuk terus mendapatkan ulam-ulaman yang memang baik untuk kesihatan," katanya.

eDESA@Bazar antara usaha badan bukan kerajaan (NGO) Rangkaian Anak-anak Padang Terap (Rapat) yang t dilancarkan minggu lalu dan sebanyak 148 peniaga menggunakan aplikasi ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Timbalan Pengerusi RAPAT, Jasnizam Husni berkata, NGO tersebut kini sedang membantu dan memantau dari masa ke masa penggunaan aplikasi itu untuk pemasaran bagi peniaga yang terlibat.

Menurutnya, ada peniaga yang belum biasa dengan aplikasi tersebut dan masih lagi dalam proses pembelajaran.

"Rapat akan melanjutkan aplikasi eDESA@Bazar sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri jika aplikasi ini mampu menjadi salah satu kaedah meningkatkan pendapatan peniaga dan penghantar makanan terutama kepada golongan muda," katanya.