Dasar Sekuriti Makanan Negara dirangka

Ronald Kiandee. Foto: Internet
Ronald Kiandee. Foto: Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dirangka bagi memperkukuh keselamatan makanan di semua peringkat rantaian makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan keahlian terdiri daripada MOA, Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Menteri Kesihatan (KKM); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC); Menteri Pengangkutan (MOT); Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa secara amnya, bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terkawal, namun terdapat keperluan untuk kedudukan sekuriti makanan negara diteliti dan ditambah baik.

"Justeru, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ini bertepatan dalam menjamin tahap sekuriti makanan sentiasa berada dalam keadaan stabil dari aspek ketersediaan, mudah diakses, selamat dan mampu diperoleh rakyat sepanjang masa, dalam apa jua keadaan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Ronald lagi, jawatankuasa ini juga akan mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta petani, penternak dan nelayan bagi memastikan dasar yang dirangka adalah komprehensif dan mampu membantu kerajaan menangani isu sekuriti makanan secara berkesan.

Selain itu, Ronald turut menegaskan Dasar Sekuriti Makanan Negara ini kelak akan melengkapi Dasar Agromakanan 2.0 yang sedang digubal oleh kementerian ketika ini, bahkan selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan Sustainable Development Goals (SDG).

Artikel Berkaitan: