Kelantan bakal nikmati bekalan air lebih baik

 Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air menjangkakan lebih 261,000 pemilik akaun bekalan air terawat di Kelantan akan menikmati bekalan air yang lebih baik berikutan pelaksanaan 33 projek bekalan air dari sekarang sehingga tahun 2025.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan memberikan fokus kepada dua aspek iaitu pembangunan dan menaik taraf loji rawatan air (LRA) serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

"Sebanyak 12 projek pembangunan dan naik taraf LRA akan melibatkan pembiayaan pinjaman RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dua projek dibiayai Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Pelaksanaan projek ini sangat penting bagi meningkatkan liputan bekalan air terawat yang kini berada pada tahap 68 peratus di kawasan bandar dan 72 peratus di luar bandar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara projek yang dilaksanakan termasuklah pembinaan LRA Merbau Chondong, LRA Tanjung Mas, LRA Felda Chiku, LRA Kampung Telok, LRA Tualang dan 18 projek LRA mini yang lain.

Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya memperuntukkan geran bagi pelaksanaan Program Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan (Pendekatan 1) dan lebih RM200 juta melalui pembiayaan PAAB bagi program penggantian paip yang sedang dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2023.

Ia juga merupakan sebahagian dari pembangunan modal berjumlah RM400 juta yang telah diluluskan.

"Pelaksanaan projek ini penting untuk mengurangkan kadar NRW Kelantan yang mencatat paras 50.8 peratus pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Kelantan juga melabur RM30 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih telaga dan pembinaan LRA mini di Pintu Geng, Perol, Ketereh, Wakaf Bharu, Kelar dan Telok Mesira," katanya.

Menurutnya, kementeriannya akan meneruskan kerjasama yang sedia terjalin dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan bekalan air terawat yang berkualiti kepada seluruh rakyat Kelantan.