Dapatkan kebenaran PDRM sebelum merentas negeri

Perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit pergerakan yang diluluskan kerajaan. - Foto Bernama
Perjalanan perlu dilakukan pada hari ditetapkan mengikut permit pergerakan yang diluluskan kerajaan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam untuk tujuan perjalanan rentas negeri diingatkan supaya mendapatkan kebenaran atau permit perjalanan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Justeru, orang ramai dinasihatkan mendapatkan kebenaran PDRM di balai polis berdekatan terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan bagi mengelakkan berlakunya kerugian yang terpaksa ditanggung sendiri oleh pengguna pengangkutan awam," menurut Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan di sini hari ini.

MOT mengambil maklum mengenai pergerakan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk perjalanan rentas negeri apabila syarikat penerbangan kembali membuka operasi untuk penerbangan domestik.

Dalam masa sama, katanya sebagaimana kenyataan media PDRM semalam, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab sahih yang ditetapkan.

MOT turut menyarankan orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan pencegahan wabak Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut ketika di dalam pesawat serta sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan diri. - Bernama

Artikel Berkaitan: