Baca satu juzuk al-Quran setiap hari bersama keluarga

Asyraf Wajdi (tiga dari kiri) dan Irwani (dua dari kiri) serta anak-anak mereka bertadarus bersama untuk menghabiskan satu juzuk Quran pada setiap hari pada bulan Ramadan.
Asyraf Wajdi (tiga dari kiri) dan Irwani (dua dari kiri) serta anak-anak mereka bertadarus bersama untuk menghabiskan satu juzuk Quran pada setiap hari pada bulan Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk meraikan Ramadan. Tidak terkecuali buat pemimpin politik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan keluarganya yang memanfaatkan bulan mulia ini untuk membaca satu juzuk al-Quran pada setiap hari.

Asyraf Wajdi berkata, setiap hari mereka sekeluarga akan menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Selesai solat Subuh, katanya, beliau dan isteri, Profesor Madya Dr Irwani Abdullah dan empat daripada enam anak mereka akan memulakan bacaan al-Mathurat disusuli dengan tazkirah kira-kira 10 minit yang akan dilakukan secara bergilir-gilir oleh anak-anak yang berusia 10 tahun ke atas.

Selepas itu, katanya, anak-anaknya itu wajib memberikan ulasan terhadap tazkirah disampaikan untuk melihat sejauh mana kefahaman mereka.

“Kami kemudiannya akan mula bertadarus dan menghabiskan bacaan satu juzuk al-Quran sebelum solat Duha.

“Ini kami lakukan sepanjang bulan puasa ini dan sasarkan dapat khatam atau menyelesaikan kesemua 30 juzuk pada penghujung Ramadan nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Asyraf Wajdi berkata, setelah selesai bertadarus, barulah anak-anak akan berehat sama ada tidur sebentar atau membuat aktiviti lain termasuk senaman ringkas dalam rumah.

“Selepas solat Asar, kami sekeluarga akan membaca al-Mathurat sekali lagi dan membaca al-Quran sementara menanti waktu berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

“Antara Maghrib dan Isyak pula akan ada sesi tasmik mendengar surah-surah hafalan anak-anak yang kecil dan kemudiannya kami sekeluarga akan bersolat tarawih berjemaah,” katanya.

Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, selain bertadarus dan bertadabbur, beliau amat menekankan aspek solat berjemaah kerana ia merupakan asas penting untuk membangunkan anak-anak sejak mereka kecil.

“Saya mahu latih mereka bermula daripada akar agar mereka takut dengan ALLAH serta rasa bertanggungjawab terhadap perintah Yang Maha Esa.

“Ibu bapa juga perlu berdisiplin dalam solat dan setiap bapa perlu mainkan peranan sebagai ketua keluarga untuk imamkan solat terutamanya pada Ramadan kali ini.

“Ambil peluang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini untuk bersama keluarga dengan memastikan sentiasa bersolat jemaah lima waktu bersama, bertadarus serta semak tajwid anak-anak,” katanya.