Permohonan pergerakan rentas negeri bermula hari ini

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang hendak melakukan pergerakan antara negeri untuk tujuan yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu membuat permohonan melalui aplikasi ‘Gerak Malaysia’ bermula hari ini hingga 29 April.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka yang layak boleh membuat permohonan secara dalam talian susulan kebenaran pergerakan itu selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini.

“Aplikasi ini dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa keluar rumah untuk membuat permohonan di balai polis, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.

“Melalui aplikasi ini, kod QR unik yang dijana akan diimbas dan diperiksa oleh anggota yang bertugas di sekatan jalan raya,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Huzir mengingatkan masyarakat bahawa permohonan permit pergerakan ini hanya bagi individu terkandas di kampung halaman sebaik PKP diumumkan yang mahu pulang ke kediaman masing-masing atau tempat bekerja.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery, semasa pendaftaran kali pertama selepas memuat turun aplikasi ini, pengguna perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama, nombor Mykad/pasport, alamat, nombor telefon bimbit dan email,” katanya.

Huzir berkata, pengguna juga perlu memberi kebenaran kepada aplikasi itu untuk mengakses lokasi GPS bagi membolehkan sistem aplikasi ini mengesahkan lokasi semasa pemohon, seterusnya meluluskan permit pergerakan.

“Permohonan melalui aplikasi ini juga dapat membantu Polis Diraja Malaysia mengenal pasti jumlah mereka yang terlibat serta menyediakan jadual perjalanan untuk memastikan kelancaran operasi.

Artikel Berkaitan:

“Perjalanan perlu dilakukan ppada hari yang ditetapkan mengikut permit pergerakan yang diluluskan, maklumat lanjut berhubung jadual perjalanan ini dan garis panduan lain akan diumumkan pada 29 April ini,” katanya.

Huzir berkata, selain daripada permohonan permit pergerakan rentas negeri, terdapat tatacara untuk memproses beberapa permohonan permit lain yang telah disediakan dalam aplikasi ini bagi tujuan pembelian barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari kediaman.

“Aktiviti perlu seperti membaiki kerosakan kenderaan, membaikpulih kerosakan di dalam rumah, mendapatkan rawatan perubatan dan keadaan kecemasan contohnya kematian ahli keluarga terdekat,” katanya.

Beliau berkata, walaubagaimanapun hanya permohonan untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri sahaja akan diiproses buat masa ini.

“Orrang ramai diingatkan jangan menyalahgunakan kemudahan permit pergerakan melalui aplikasi ini,” katanya.

Info

Bagi memudahkan pergerakan pemohon, jadual perjalanan yang telah dirancangkan adalah:

Tarkih dari

1 Mei 2020 - Perak, Johor, Kelantan

2 Mei 2020 - Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang

3 Mei 2020 - Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu